Wednesday, August 3, 2011

Pasaran hartanah hadapi 'gelembung'

Utusan Malaysia 3hb Ogos 2011

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pasaran hartanah di Asia Pasifik termasuk Malaysia kini berdepan dengan masalah gelembung atau peningkatan tinggi harga hartanah tetapi belum berada di tahap yang membimbangkan

Menurut Pengarah Jualan Runcit, Divisyen Pengurusan Dana AmInvestment Bank Group, Ng Chze How, gelembung tersebut tidak akan pecah untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

''Antara faktor yang menyebabkan gelembung itu tidak membimbangkan adalah keadaan pinjaman keseluruhan masih baik serta tahap kecairan yang tinggi.

''Selain itu, kedudukan pinjaman tidak berbayar (NPL) di negara-negara Asia Pasifik juga adalah sihat dan sekiranya terdapat tanda gelembung itu akan pecah kerajaan akan mengambil langkah pantas untuk meredakan keadaan.

''Sebagai contoh, apa yang dilakukan kerajaan kita apabila memperkenalkan beberapa peraturan baharu terutama bagi mereka yang ingin memiliki rumah kedua,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran AmAsia Pacific REITs di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Pengurusan Dana, Datin Maznah Mahbob dan Ketua Pegawai Pelaburan Ekuiti, Andrew Wong Yoke Leong.

Tambah Chze How, walaupun terdapat gelembung hartanah yang kecil itu, tetapi ia tidak melibatkan pelaburan amanah pelaburan hartanah (REIT) yang dilakukan AmInvestment Bank melalui AmAsia Pacific REITs.

Terdahulu, AmMutual melancarkan dana hartanah pertama di Malaysia yang melabur hanya dalam REIT.

Dana tersebut akan melabur dalam REIT yang tersenarai di rantau Asia Pasifik yang menawarkan pilihan kepada pelabur untuk mengakses sektor hartanah.

Maznah berkata, dana tersebut menawarkan peluang kepada pelabur-pelabur untuk mempelbagaikan daripada saham dan bon, oleh itu mengurangkan risiko portfolio keseluruhan pelaburan.

''REIT melalui pendapatan sewa dalam pelaburan hartanah, memberi mereka sumber pendapatan berpotensi.

''Sepanjang lima tahun lalu, prestasi REIT Asia telah mencecah lebih daripada tiga kali ganda berbanding REIT global iaitu 46.2 peratus dan 14.4 peratus,'' jelasnya.

Beliau berkata, harga hartanah Asia terpilih masih belum mencapai puncak dan terdapat ruang untuk pertumbuhan berpotensi, dengan tekanan inflasi semasa, hartanah dilihat sebagai lindung nilai baik.

Saiz dana yang dibenarkan bagi AmAsia Pacific REITs adalah 200 juta unit dengan harga tawaran awam permulaan RM0.50 seunit dan tempoh tawaran akan berakhir pada 7 Ogos ini.

Pelaburan minimum untuk rakyat Malaysia adalah sebanyak RM1,000 manakala pelaburan tambahan adalah sekurang-kurangnya sebanyak RM500.

Denominasi dana ini adalah dalam Ringgit Malaysia, tetapi ia boleh dibeli dalam mata wang lain seperti dolar Singapura dan Amerika Syarikat.

Setakat ini, sebanyak 20 peratus dana tersebut telah dijual kepada umum.