Tuesday, October 18, 2011

Pinjaman rumah perlu lebih fleksibel

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Pemaju hartanah, Allstones Group Asia Sdn. Bhd. meminta industri perbankan melihat kepada langkah-langkah pemberian pinjaman yang lebih fleksibel dan mesra bagi memastikan Skim Rumah Pertamaku berjaya.

Pengerusinya, KH Sim dalam satu kenyataan di sini berkata, institusi kewangan mungkin boleh mempertimbangkan penawaran faedah perkhidmatan pinjaman perumahan berbanding kaedah pembayaran ansuran yang diamalkan ketika ini.

Menurut beliau, skim tersebut merupakan satu inisiatif yang baik daripada kerajaan yang mana ia telah diperluaskan kepada rumah yang berharga maksimum RM400,000 berbanding RM200,000 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia terhad kepada pembeli yang mempunyai pendapatan kurang RM3,000 sebulan yang mana pada dasarnya tidak layak untuk membeli rumah yang berharga sekitar RM300,000 hingga RM400,000.

" Inisiatif kerajaan ini adalah baik malah banyak pemaju-pemaju utama dijangka melancarkan rumah pada harga RM300,000 sehingga RM400,000 tetapi sayangnya, dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan, pembeli-pembeli masih belum berkelayakan untuk memiliki rumah pada harga itu.

" Jika golongan muda benar-benar mendapat manfaat daripada inisiatif ini, bank seharusnya mempertimbangkan untuk menawarkan faedah perkhidmatan pinjaman perumahan sahaja, ditambah dengan pelunasan secara sedikit demi sedikit mengikut peningkatan pendapatan pembeli berbanding apa yang diamalkan ketika ini iaitu pembayaran secara ansuran dan prinsipal bulanan," katanya,

Jelas Sim, jika kadar faedah perkhidmatan pinjaman perumahan ditawarkan, contohnya pada kadar lima peratus setahun bagi pinjaman RM200,000, pembeli hanya perlu membayar kira-kira RM917 sebulan.

Ia sekali gus membolehkan lebih ramai penduduk negara ini mampu membeli rumah yang lebih mahal dengan kemudahan-kemudahan pengangkutan awam sedia ada ataupun yang masih di dalam perancangan yang lebih dekat.

"Bank sepatutnya memperkenalkan faedah perkhidmatan ini hanya kepada pembeli pertama kali ataupun yang berpendapatan rendah berbanding kaedah yang diamalkan ketika ini, malah banyak negara sudah mengamalkan cara ini termasuklah Australia," katanya.

- Utusan Malaysia.