Friday, May 4, 2012

Bajet Bijak: Bijak belanja

bminggu@bharian.com.my 2012/04/07  

Kaji antara risiko, pulangan pelaburan demi masa depan
MENABUNG dalam akaun simpanan atau simpanan tetap adalah pelaburan paling selamat. Pulangan atau kadar faedah adalah rendah berbanding pelaburan lain tetapi ia tanpa risiko. Anda boleh tidur dengan lena tanpa perlu bimbang dengan pelaburan berkenaan. Dengan menyimpan wang dalam akaun simpanan atau simpanan tetap, anda mungkin tidak dapat membina kekayaan secepat dimahukan. Sungguhpun pelaburan lain dapat memberi pulangan yang lebih baik, ia mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ini kerana berkemungkinan besar pelaburan itu akan jatuh nilainya.

 Sebagai contoh, jika anda melabur wang dalam pasaran saham, anda menghadapi risiko besar untuk kehilangan wang berbanding menyimpannya dalam akaun simpanan. Harga saham yang turun naik bergantung kepada beberapa faktor. Anda mungkin membeli saham syarikat pada harga RM5 sesaham, tetapi harga terbabit mungkin naik kepada RM7 atau turun kepada RM2.

 Apabila melaburkan wang, kita memang mengharapkan pulangan. Kadar pulangan atas pelaburan biasanya dikira dalam peratusan tahunan. Jika membeli saham pada harga RM10 sesaham dan harga naik kepada RM10.80 selepas setahun, kadar pulangannya adalah sebanyak 8 peratus. Pulangan sebenar pelaburan adalah selepas menolak segala perbelanjaan yang berkaitan. Sebagai contoh, jika anda membeli rumah dan kemudian menjualnya, anda hanya dapat memastikan pulangan yang diperoleh selepas menolak kos seperti yuran guaman, komisen ejen, duti setem dan faedah pinjaman bank. Ingat apabila memilih pelaburan, semakin tinggi pulangannya, semakin tinggi risikonya.  

Bajet cara Adam Minggu lepas, kita telah sama-sama menerokai pengalaman hidup Adam di kolej dan melihat bagaimana dia membiayai pelajarannya sendiri melalui pinjaman pelajaran serta memberi tuisyen secara sambilan. Minggu ini pula, kita akan bersama Adam apabila dia memulakan pengalaman baru dalam dunia pekerjaan dan kisah percintaannya. NAMANYA dipanggil dan Daniel menyiku rakan karibnya, Adam. Tumpuan Adam ketika itu adalah pada Aida, gadis yang duduk di bahagian tengah dewan. Adam memikirkan cara merakamkan gambar bersamanya. Bagaimanapun, Adam cepat-cepat bangkit lalu naik ke pentas untuk menerima sijilnya. Ini adalah detik yang amat membanggakan bagi Adam serta keluarga. Adam akhirnya berjaya mendapat ijazah dengan kepujian dan tawaran pekerjaan tetap. Kemudian, pada jamuan sambutan yang diadakan, Adam memberanikan diri untuk meminta Aida bergambar bersama dan bertukar nombor telefon. Mereka berjanji untuk terus berhubung dari masa ke masa... Adam memulakan kerjayanya di salah sebuah daripada lima firma perakaunan terbesar dan dia sangat sibuk dengan kerjanya.

 Adam dibayar gaji permulaan RM2,500 sebulan. Dengan bekerja lebih masa serta tuntutan lain, Adam mendapat gaji purata sebanyak RM 3,000 sebulan. Kini, Adam mempunyai lebih banyak pendapatan yang boleh diguna. Tetapi, Adam masih mempunyai komitmen lain yang perlu difikirkan. Dia mengambil keputusan untuk menyemak semula belanjawannya seperti berikut:

 Pendapatan (RM) Gaji 2,500
 Perbelanjaan (RM) Tabungan 250
Pembayaran semula PTPTN 150
Ibu bapa 500
Makanan 500
Pakaian dan Hiburan 500
Pengangkutan 200
Bil Telefon 100
 Jumlah pendapatan 2,500
 Jumlah perbelanjaan 2,200
Baki 300
 Gaji bawa pulang bersih tolak sumbangan KWSP, SOCSO dan cukai Kita dapat perhatikan bahawa Adam meletakkan tabungan sebagai perkara pertama di lajur perbelanjaan. Ini selaras dengan prinsip bahawa kita haruslah selalu membayar pada diri kita dulu. Oleh itu, Adam memastikan dia meneruskan pelaburannya dalam amanah saham. Malah, kali ini dia menambahkan tabungan berkala kepada 10 peratus daripada gajinya. Adam ada membaca beberapa buku perancangan kewangan yang menyatakan bahawa seseorang haruslah menabung sekurang-kurangnya 10 peratus atau lebih daripada pendapatannya berbanding jumlah caruman KWSP mereka.
 Malah ada sesetengah perancang kewangan yang menyarankan kita menabung separuh daripada pendapatan kita. Ini termasuk caruman wajib KWSP daripada majikan dan pekerja yang berjumlah 23 peratus untuk kebanyakan pekerja, yang bermakna kita perlu menabung jumlah selebihnya sebanyak 27 peratus daripada pendapatan kasar. Ini pastinya suatu permintaan yang agak mustahil bagi ramai orang, khususnya mereka yang mempunyai anak, tetapi pengorbanan sedemikian dapat menjamin masa persaraan yang selesa. Perkara kedua pada senarainya adalah pembayaran semula pinjaman PTPTN. Dengan menggunakan kalkulator pinjaman di web PTPTN (http://www.ptptn.gov.my), Adam perlu membayar kira-kira RM150 sepanjang tempoh 180 bulan, pada kos pentadbiran sebanyak 1 peratus setahun. Sebagai siswazah yang bertanggungjawab, sebaik saja dia menerima cek gaji pertamanya, Adam mula membayar balik pinjamannya, tanpa menunggu untuk surat tuntutan bagi pinjaman berkenaan. Adam fikir sekiranya dia melambatkan atau lebih teruk lagi, tidak mengendahkan pembayarannya, dia seolah-olah merampas peluang mahasiswa lain yang sangat memerlukan dana berkenaan.
Lebih-lebih lagi, ia menghadapi risiko disenaraihitamkan daripada memohon pinjaman pada masa depan. Disebabkan Adam menetap bersama ibu bapanya, Adam dapat berjimat daripada belanja sewa. Jika tidak, Adam perlu membelanjakan kira-kira RM300 untuk menyewa sebuah bilik di ibu kota.
 Dengan penjimatan itu, Adam memutuskan untuk memberi ibu bapanya RM250 setiap orang untuk menampung belanja makanan dan penginapannya. Sememangnya ia suatu tindakan yang menguntungkan kedua belah pihak kerana sambil membuat jasa pada ibu bapanya, Adam dapat berjimat. Adam memperuntukkan RM500 untuk belanja makan di luar rumah, terutama bagi makan tengah hari dan malam jika perlu kerja lewat.
Anggaran kos makanannya ialah RM20 sehari bagi 25 hari kerja dalam sebulan. Adam juga ketepikan RM500 untuk belanja pakaian dan hiburan. Ini kerana pastinya, Adam sering keluar makan atau keluar bersama-sama rakan sekerjanya dan RM100 boleh dihabiskan sekali gus. Adam juga mempunyai niat untuk membeli kereta tetapi ingin menabung lebih banyak wang supaya dapat mengeluarkan bayaran pendahuluan yang lebih besar untuk kereta pertamanya.
 Ketika ini, Adam menggunakan pengangkutan awam atau menumpang rakan-rakan sekerjanya yang memandu. Seperti dulu, Adam mendapatkan Kad Perjalanan Bulanan, iaitu pas perjalanan bersepadu untuk bas awam dan LRT pada harga RM135 sebulan. Dia membundarkan jumlah ini kepada RM200 dan selebihnya untuk meliputi tambang teksi.
 Adam juga menetapkan bajet RM100 bagi bil telefon bimbitnya yang pastinya akan bertambah dengan berkembangnya kehidupan sosialnya. Selepas mengambil kira kesemua perbelanjaan yang dapat diramalkan, Adam gembira apabila mendapati dia masih mempunyai baki lebihan sebanyak RM300 setiap bulan. Ketika memikirkan cara untuk membelanjakan wang secara produktif, dia terbaca suatu artikel dalam majalah kewangan peribadi yang menekankan keperluan setiap dewasa yang bekerja memiliki polisi insurans. Adam membuat kajian mengenai jenis-jenis polisi yang paling sesuai buat dirinya dan selepas meneliti beberapa pilihan,
 Adam membuat keputusan mendapatkan polisi insurans. Adam mampu mengetepikan 10 peratus daripada gajinya kerana polisi insurans pilihannya juga berfungsi sebagai alat penabungan tetap. Oleh itu, dengan belanjawan kira-kira RM250 sebulan, Adam dapat membeli insurans bagi dirinya dan insurans perubatan yang disertakan dengan kad perubatan.
Kad perubatan akan merangkumi kos rawatan hospital dan pembedahan jika Adan dimasukkan ke hospital. Walaupun Adam mendapat perlindungan insurans daripada syarikatnya, dia rasa dia harus mendapatkan perlindungan insurans sendiri sebagai suatu sandaran keselamatan. Sekarang dengan peruntukan ini, Adam boleh menggunakan hampir keseluruhan pendapatannya secara produktif.