Wednesday, January 22, 2014

Harian Metro - Kawal pencari untung


Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
Kuala Lumpur: Pemaju perumahan dinasihatkan untuk mengehadkan pembelian unit kediaman bagi setiap individu terutama ketika jualan prapelancaran untuk mengekang kenaikan harga rumah yang melampau.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, terdapat beberapa kes yang berlaku di mana individu dibenarkan membeli lebih dari satu unit kediaman ketika jualan prapelancaran sedangkan mereka tidak berhasrat menetap di unit yang dibeli itu.

“Mengikut kefahaman saya, terdapat individu yang membeli lebih dari satu unit kediaman, namun ia hanyalah semata-mata untuk tujuan pelaburan dan mereka tidak berniat untuk menetap di lokasi berkenaan.
“Ini kerana mereka berhasrat untuk menjual semula unit yang dibeli itu pada harga lebih tinggi,” katanya selepas pelancaran Penerbitan Ulang Tahun ke-25 Cagamas berjudul Perumahan Negara: Dasar, Isu dan Prospek, di sini, semalam.

Hadir sama, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Menurutnya, terdapat beberapa projek kediaman yang hanya mencatatkan 20 peratus kadar pendudukan selepas projek berkenaan siap sepenuhnya memandangkan kebanyakan pemilik unit lain masih menanti pembeli baru.
FotoABDUL Wahid (dua dari kanan) bersama Dr Zeti (dua dari kiri), Pengerusi Cagamas Holdings Bhd Datuk Ooi Sang Kuang (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Cagamas Holdings Chung Chee Leong di pelancaran Penerbitan Ulang Tahun ke-25 Cagamas. 
“Malah, ada individu yang merungut tidak mampu membeli unit yang sama kerana harga yang ditawarkan ada kalanya 40 peratus lebih tinggi berbanding harga asal,” katanya.

Abdul Wahid berkata, kerajaan tidak mahu terlalu mengawal rentak pemaju memandangkan ia adalah pasaran bebas, namun menasihati mereka supaya tidak terlalu mengejar keuntungan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Seri Michael Yam berkata, tidak semua pemaju gemar menawarkan pembelian lebih dari satu unit untuk individu kerana ia akan membabitkan potongan harga.

“Kebanyakan individu yang membuat keputusan untuk membeli lebih dari satu unit adalah kerana diskaun. Namun, sekiranya produk yang ditawarkan itu mendapat sambutan baik, tidak ada alasan untuk mereka menjual kepada individu yang sama.

“Malah, pembelian unit oleh individu yang sama akan mengurangkan senarai data pembeli baru yang secara tidak langsung merugikan pemaju,” katanya.

Menurutnya, kaedah jualan prapelancaran juga adalah sebahagian daripada usaha menguji pasaran untuk melihat sambutan pembeli ke atas projek mereka.

“Kami akan melihat perkara ini dan menetapkan beberapa spesifikasi mengenai kaedah menguji pasaran ke atas pemaju yang mana dibolehkan dan dianggap keterlaluan,” katanya. 

Atikel ini disiarkan pada : 2014/01/22 - Harian Metro.