• Percubaan sebulan bebas cukai  
  • Mohd Jidin (kanan) melihat buku Angin Dari Ulu karya Azahari Othman selepas Majlis Perjumpaan Bersama Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu, semalam.
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan melaksanakan percubaan selama sebulan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai sempena Festival Kenyir bermula pada 29 April hingga 29 Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, percubaan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai adalah antara daya penarik dan termasuk dalam 23 aktiviti dirangka pada festival selama sebulan itu.

“Sekarang, kita baru selesai bermesyuarat dan kerajaan negeri sedang memohon kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kebenaran, supaya agensi atau pemegang lesen bebas cukai dapat hadir ke sini untuk menjual barangan mereka.

“Terdapat 20 outlet yang disediakan kepada mereka untuk menjual pelbagai jenis barangan kecuali rokok dan arak. Itu kita tidak benarkan. Di samping itu, kita turut menjemput usahawan tempatan untuk pasarkan produk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu.

Menurut Mohd Jidin lagi, percubaan bebas cukai selama sebulan di lokasi tumpuan di Pangkalan Gawi itu diharap menjadi daya penarik kepada festival itu sebelum beberapa projek di kawasan itu siap sepenuhnya pada pertengahan 2015.

“Beberapa hotel, resort dan perumahan di pulau sekitar kini sedang rancak dibangunkan dan dalam perangkaan. Jadi, kita harap percubaan ini dapat mempromosikan Tasik Kenyir kepada pelancong luar dan dalam negara.

“Kita jangka sekitar 400,000 pelancong dalam dan luar negara akan mengunjungi festival itu nanti. Banyak aktiviti meliputi semua aspek seperti pusat usahawan, kebudayaan, kerjaya, kesenian, nyanyian, pertunjukan udara, sungai dan sebagainya. Ada juga persandingan 150 pasangan pengantin yang dijangka memeriahkan lagi festival itu,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan keselesaan pengunjung, pihaknya juga akan memastikan kawasan jalan, hotel dan persekitaran dijaga dengan rapi, malah keselamatan juga dititikberatkan terutama pengangkutan air agar mematuhi arahan ditetapkan.

“Kita tidak mahu berlaku sebarang kemalangan di festival itu kerana ia melibatkan pelancong dari pelbagai negara,” katanya.

Menurut Mohd Jidin lagi, pihaknya kini giat mempromosikan Festival Kenyir menerusi pelbagai medium bagi memastikan acara itu mendapat sambutan lebih meriah pada tahun ini.

Katanya, orang ramai juga dialu-alukan untuk mengemukakan sebarang cadangan atau pandangan bagi memeriahkan lagi program berkenaan.

“Orang ramai boleh menggunakan saluran yang ada bagi memberikan pandangan untuk memperhebatkan lagi festival kali ini. Cadangan yang disalurkan akan diteliti dan diambil kira untuk manfaat semua,” katanya.