Tuesday, June 2, 2015

Pantai Batu Burok Dibuka Semula Untuk Perkelahan, Mandi

Author: 28 May 2015 11:18 am
Pantai-Batu-Buruk
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mewujudkan Zon Mandian Selamat di Pantai Batu Burok bermula 4 Jun ini bersempena Karnival Sukan Pantai Antarabangsa Terengganu 2015.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mohamad Kamil Othman, berkata pelbagai aspek keselamatan disediakan bagi menjamin pantai tersebut selamat untuk aktiviti rekreasi dan perkelahan terutamanya untuk mandi.
“15 pengawal keselamatan pantai telahpun dilatih bagi persediaan jika sebarang musibah berlaku di kawasan pantai.
“Selain dari dua menara kawalan, had sempadan antara kawasan yang selamat untuk mandi turut diwujudkan dengan meletakkan boya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa sidang media Karnival Sukan Pantai Antarabangsa Terengganu 2015 di Bukit Panorama, Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh.
Kamil berkata, pengawal keselamatan pantai tersebut akan ditugaskan di kawasan tersebut mengikut giliran yang akan ditetapkan.
“Kita telah tetapkan waktu bertugas untuk mereka. Mereka akan melakukan tugasan antara pukul 8 pagi sehingga 7 malam,” katanya.