Thursday, February 7, 2013

Dari bas mini ke bas ekspres

Wartawan Sinar Harian
4 Februari 2013
Bas ekspres
Bas ekspres yang menjadi lambang kemegahan Agensi Pelancongan D & Adik Beradik.
KUALA LUMPUR -  Sebelum ini, Agensi Pelancongan D & Adik Beradik dikenali sebagai Persiaran Sewa Khas Adik Beradik yang telah ditubuhkan pada 1974 di Kuala Terengganu.

Pada awal penubuhannya, syarikat ini menjalankan perniagaan pengangkutan bas mini yang diusahakan oleh adik-beradik.

Pada 10 Ogos 1988, nama asal syarikat iaitu Persiaran Sewa Khas Adik Beradik telah ditukarkan kepada Agensi Pelancongan D & Adik Beradik berikutan dengan perniagaan yang semakin pesat berkembang.

Syarikat yang beroperasi atas platform bas persiaran telah mengorak langkah kepada operasi bas ekspres laluan Kota Bharu – Johor Bahru pada 1990.
Sejajar dengan peningkatan pengguna jalanraya bagi laluan Pantai Timur, syarikat ini telah menambah laluan yang baru iaitu Kuala Terengganu – Kuala Lumpur, Kuala Terengganu – Rantau Panjang dan Kuala Terengganu – Johor Bahru.

Pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi oleh syarikat ini, antaranya mengalami masalah kekurangan penumpang selama 2 tahun berturut-turut, kekurangan pemandu bas yang cekap dan berkaliber serta peningkatan kos penyelenggaraan dari masa ke semasa.

Lanjutan daripada ini, syarikat ini telah berusaha gigih untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan meningkatkan promosi dan mendapat khidmat nasihat dari SME Bank.

Kini, Agensi Pelancongan D & Adik Beradik telah mempunyai 20 bas ekspres di pelbagai laluan utama.

Syarikat ini telah berjaya mengembangkan perniagaannya dari industri kecil sehingga menjadi IKS yang boleh dibanggakan, hasil dari usaha dan kesungguhan pengusaha serta bantuan pembiayaan yang disalurkan oleh SME Bank melalui Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam (TPPA).

Bertepatan dengan nama syarikat ini iaitu Adik Beradik, kebanyakan pekerjanya mempunyai pertalian saudara bagi memudahkan urusan perniagaan syarikat ini.  Selain daripada itu, persefahaman juga mudah dipupuk di kalangan mereka.

Oleh itu, wujudlah persekitaran kerja yang kondusif untuk memudahkan operasi syarikat berkembang maju dan membolehkan Agensi Pelancongan D & Adik Beradik terus berdaya maju.