28 Februari 2013

Hussamuddin Yaacub

Hussamuddin dan Azilah merakam kenangan bersama peserta Program Transformasi Usahawan, di sini, semalam.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kejayaan tidak datang dengan mudah tanpa kesungguhan berterusan, selain membuat persiapan rapi.
“Memulakan perniagaan dari rumah atau depan rumah secara kecil-kecilan mahupun runcit adalah lebih baik daripada terpaksa berhutang untuk sewa kedai dan lain-lain. Ambil untung sedikit demi sedikit dulu, baru kembang perniagaan.
“Ini kerana, banyak perniagaan tidak kekal lama disebabkan tidak pandai mengurus hutang dan perniagaan dengan baik. Selain itu, jenis perniagaan hendak dijalankan juga mesti kena dengan cita rasa pengguna supaya dapat bertahan lama,” katanya kepada
kira-kira 400 bakal usahawan dan usahawan, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian pada Program Transformasi Usahawan anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang turut dihadiri Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Azilah Arshad.
Dalam pada itu, Hussamuddin turut mengingatkan bakal usahawan supaya tidak mengambil pelaburan perniagaan untuk kegunaan peribadi bagi memastikan perniagaan bertahan lama.
“Ada orang dapat untung, dia buat rumah dan beli kereta besar. Sepatutnya, kita fokus dan tahu membezakan antara duit syarikat dengan duit kita untuk kukuhkan kewangan perniagaan,” katanya.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa membentuk karakter anak-anak dengan baik dan tidak hanya fokus kepada akademik demi masa hadapan mereka.