Thursday, March 7, 2013

Kadar faedah rendah, pacu ekonomi negara

KUALA LUMPUR 5 Mac - Peningkatan perolehan dari industri pelancongan yang pantas berkembang, kadar faedah yang rendah dan peningkatan keyakinan pengguna akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan Malaysia.
Keadaan itu mampu dicapai walaupun negara dan rantau ASEAN berhadapan keadaan ekonomi global yang suram, khususnya di Eropah sejak beberapa tahun lepas.
Faktor-faktor itu akan terus membantu ekonomi Malaysia, yang berkembang 5.6 peratus pada tahun lepas, bagi mengekalkan kadar pertumbuhan yang boleh dibanggakan pada kadar 4.3 peratus pada tahun ini, 4.4 peratus pada 2014 dan 4.6 peratus pada 2015.
"Ekonomi Malaysia akan terus mengatasi ekonomi global, yang merupakan satu berita baik," kata Pengarah Serantau Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW), Mark Billington.
Katanya, kadar faedah yang rendah di Malaysia juga menyokong pelaburan sektor swasta dan meningkatkan keyakinan pengguna. Kadar faedah utama negara ini kekal 3.0 peratus.
"Berita baik bagi Malaysia pada masa ini ialah inflasi rendah, bermakna tekanan yang rendah untuk menaikkan kadar faedah, sekali gus menjadikan pelaburan menarik," katanya kepada Bernama.
"Satu petunjuk untuk pelaburan global ialah memastikan ketelusan dan persamaan dengan perkhidmatan kewangan, yang sebaliknya menyokong keyakinan perniagaan dan pasaran," kata Billington.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia kemungkinan mencapai matlamat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020 tetapi perlu memenuhi keperluan awal seperti meningkatkan pergerakan ke arah ekonomi berpengetahuan dan berasaskan kemahiran dan memaksimumkan fokus kepada bidang perkhidmatan berbanding dengan pembuatan.
"Ini juga bermaksud menarik perniagaan global dan menjadikan Malaysia satu lokasi pelaburan dan perniagaan yang utama melalui usaha meningkatkan ketelusan, kawal atur korporat yang kukuh serta mudah melakukan perniagaan.
"Jika Malaysia mempunyai kumpulan kemahiran yang betul, negara itu boleh menjadi hab ekonomi global atau serantau", yang bermakna Malaysia boleh bersaing dengan jiran terdekat dengan menarik bakat dan industri yang betul.
"Ini bermakna, sebagai satu tempat yang kompetitif untuk menempatkan sesuatu perniagaan dan tempat menarik bagi para pekerja menempatkan semula dan membina satu kerjaya," katanya.
Beliau menyatakan bahawa halangan utama terhadap Malaysia bagi mencapai aspirasinya ialah kekurangan kemahiran dan pengetahuan yang betul di kalangan para pekerjanya serta birokrasi. - BERNAMA