Thursday, September 19, 2013

Pelabur hartanah Malaysia diyakini

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Pemaju hartanah United Kingdom (UK), Ballymore Group yakin dengan potensi pembeli hartanah dari Malaysia terhadap projek kediamannya di London, meskipun kedudukan ringgit yang agak merosot ketika ini.
Ballymore Group ketika ini sedang membangunkan projek bersepadu komersial, City Island, dengan menggabungkan kediaman, pejabat serta pusat beli-belah terletak di Timur London.
Syarikat itu menerusi wakil pemasarannya, Henry Butcher Malaysia, menjangka dapat mengumpul 30 hingga 40 pembeli dari Malaysia daripada 1,700 apartmen yang ditawarkan di City Island.
Keluasan apartmen yang ditawarkan bermula dari 400 kaki persegi itu, dijual pada harga serendah 220,000 Pound Sterling (RM1.14 juta) sebuah.
Pengarah Henry Butcher Malaysia, Lim Eng Chong berkata, penganalisis berpendapat prestasi ringgit akan terus menyusut sehingga akhir tahun ini dan menganggap waktu ini merupakan masa yang terbaik kepada rakyat Malaysia untuk meluaskan pelaburan hartanah di luar negara.
"London kini merupakan lokasi pelaburan hartanah terpenting di Eropah dengan keupayaan mengumpul penyewa berkualiti tinggi.
"Kedudukan City Island yang berhampiran stesen pengangkutan awam menjanjikan pelaburan yang baik kepada pembeli," katanya pada sidang akhbar bagi menguar-uarkan pembangunan City Island di sini hari ini.
Ballymore Group kini di dalam siri penjelajahan ke Asia bagi mempromosi projek tersebut khususnya bagi mencari pembeli dari rantau ini.
Jelas Eng Chong, kerajaan melalui pembentangan Bajet 2014 dijangka mengumumkan dasar baharu bagi memperlahankan peningkatan harga hartanah di Malaysia.
"Oleh itu, kami merasakan pelabur hartanah tempatan boleh mencari lokasi pelaburan yang baharu termasuk di London," katanya lagi.
Pelancaran rasmi kepada projek ini akan dilakukan di Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Oktober ini.