Sunday, September 22, 2013

Permudah pembiayaan

Oleh Sofyan Rizal Ishak
Kuala Lumpur: Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) menyarankan agar kerajaan memberikan kelonggaran dan menyediakan lebih akses terhadap kemudahan pinjaman bagi membantu pengukuhan pemilikan aset bukan kewangan dalam kalangan Bumiputera.
Pengarah Urusannya Profesor Datuk Kamal Rashdan Salleh berkata, kemudahan pinjaman adalah halangan utama buat Bumiputera dalam memiliki aset terutama rumah memandangkan kebanyakan mereka hanya mampu membeli rumah pada harga bawah RM250,000. “Maklum balas pihak industri mendapati institusi perbankan agak sukar memberi pinjaman di bawah RM100,000 kerana ia berisiko tinggi. Oleh itu, kerajaan harus menyediakan satu kemudahan pinjaman khusus seperti tabung perumahan bagi memastikan Bumiputera memiliki aset masing-masing,” katanya pada Bisnes Metro di sini, kelmarin.

Beliau diminta mengulas mengenai inisiatif mengukuhkan pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini di mana SPNB dan Syarikat Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) ditugaskan untuk mempertingkatkan bilangan rumah mampu milik di Malaysia.
“Saya yakin pemilikan aset dalam kalangan Bumiputera mungkin dapat dipertingkatkan kepada 62 hingga 75 peratus sekiranya terdapat lebih akses terhadap kemudahan pinjaman terbabit,” katanya. Dalam masa sama, SPNB turut berharap pihak kerajaan menyemak semula kapasiti dan mekanisme pelaksanaan projek perumahan yang didapati agar sukar dicapai sepenuhnya disebabkan ia membabitkan banyak pihak dan memakan masa panjang.

Menurutnya, perkara seperti pertukaran hak milik tanah dan kelulusan perancangan pembangunan harus dikaji bagi memastikan urusan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta lancar. Kamal berkata, SPNB yakin mampu mempertingkatkan bilangan rumah mampu milik berdasarkan keupayaan membina rumah daripada pelbagai kategori seperti rumah mampu milik, mesra rakyat dan terbengkalai sebanyak 80,000 unit dalam tempoh lima tahun.

“Kami tidak berhadapan masalah menjayakan agenda terbabit kerana sudah mempunyai rantaian pembekal dan kontraktor berkemampuan untuk melaksanakannya. Mulai tahun ini, kami mewujudkan pembekal Bumiputera untuk membekalkan barangan keperluan seperti kelengkapan rumah, marmar, cat dan lain-lain bagi membina lebih banyak rumah sekali gus membawa nilai tambah terbaik daripada aspek harga dan kualiti.
“Selain itu, kami turut membangunkan pembekal utama produk sistem bangunan industri (IBS) sejak dua tahun lalu dan memilih 46 pembekal bagi menyediakan produk terbabit dalam pelbagai bentuk dan jenis lantas memberi kesan baik kepada operasi SPNB secara keseluruhan,” katanya.

SPNB adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (Mof Inc) yang memberi fokus kepada pembangunan rumah mampu milik dengan harga di bawah RM400,000 melalui dua kategori iaitu rumah mampu milik SPNB dan rumah mesra rakyat. Untuk tahun ini, syarikat terbabit sedang membina hampir 21,000 rumah mampu milik dengan 10,719 sudah berjaya disiapkan manakala pada tahun hadapan sebanyak 20,989 unit rumah dijangka dibina di seluruh negara.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/21-Harian Metro