Thursday, February 28, 2013

Pengarah Urusan Karangkraf: Raih kejayaan dari bawah

Wartawan Sinar Harian
28 Februari 2013
Hussamuddin Yaacub
Hussamuddin Yaacub
Pengarah Urusan Karangkraf: Raih kejayaan dari bawah
Hussamuddin dan Azilah merakam kenangan bersama peserta Program Transformasi Usahawan, di sini, semalam.
SHAH ALAM – Setiap individu yang bermula daripada bawah mampu meraih kejayaan dalam perniagaan, asalkan mereka mempunyai visi yang jelas mengenai perusahaan dijalankan mereka.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kejayaan tidak datang dengan mudah tanpa kesungguhan berterusan, selain membuat persiapan rapi.

“Memulakan perniagaan dari rumah atau depan rumah secara kecil-kecilan mahupun runcit adalah lebih baik daripada terpaksa berhutang untuk sewa kedai dan lain-lain. Ambil untung sedikit demi sedikit dulu, baru kembang perniagaan.

“Ini kerana, banyak perniagaan tidak kekal lama disebabkan tidak pandai mengurus hutang dan perniagaan dengan baik. Selain itu, jenis perniagaan hendak dijalankan juga mesti kena dengan cita rasa pengguna supaya dapat bertahan lama,” katanya kepada
kira-kira 400 bakal usahawan dan usahawan, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada Program Transformasi Usahawan anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang turut dihadiri Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Azilah Arshad.

Dalam pada itu, Hussamuddin turut mengingatkan bakal usahawan supaya tidak mengambil pelaburan perniagaan untuk kegunaan peribadi bagi memastikan perniagaan bertahan lama.

“Ada orang dapat untung, dia buat rumah dan beli kereta besar. Sepatutnya, kita fokus dan tahu membezakan antara duit syarikat dengan duit kita untuk kukuhkan kewangan perniagaan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa membentuk karakter anak-anak dengan baik dan tidak hanya fokus kepada akademik demi masa hadapan mereka.

Thursday, February 21, 2013

Artikel Pilihan: WANG UNTUK KECEMASAN!

Oleh: Irfan Khairi

Minggu lepas ketika saya memberi ceramah kekayaan di sebuat intitusi pengajian tinggi dan satu soalan yang diajukan oleh pelajar kepada saya adalah "En Irfan Khairi, apakah yang dilakukan dengan sejuta ringgit pertama yang diperolehi?"
Teringat saya lebih 10 tahun lalu bila pendapatan perniagaan Internet saya mencecah RM1,000,000. Untuk memperolehi untung sebegitu bukannya mudah, dan mengambil masa lebih 2 tahun juga. Oleh kerana mengenangkan masa dan tenaga yang telah dilaburkan untuk mencapai keuntungan sebegitu adalah tinggi, amat sukar untuk saya belanjakan secara boros.
Walaubagaimanapun, jawapan kepada soalan yang diajukan oleh pelajar tersebut dapat menjelaskan prinsip kewangan yang amat penting. Jawapan saya, "Saya membeli sebuah kereta tempatan kecil dan sebuah apartment kecil secara tunai"

Mengapa yang kecil sahaja dan tidak yang besar? Itulah silapnya ramai usahawan kita. Bila mendapat durian runtuh, terus membeli kereta mewah dan rumah yang indah. Pastinya, membeli secara berhutang dengan bayaran ansuran bank bulanan yang tinggi. Yang penting, standard mesti kena jaga supaya orang lihat kita nampak gah!
Tetapi, berkali-kali saya terdengar kisah usahawan yang hutang keliling pinggang oleh kerana ingin tampil hebat cuma, apabila perniagaan gagal, kereta kena tarik, rumah kena lelong. 
Amat penting untuk kita melindungi diri kita terlebih dahulu. Mengapa saya membeli kereta kecil dan apartment kecil? Oleh kerana ingin melindungi diri dan keluarga sekiranya rezeki tidak berpihak pada diri saya, dan perniagaan gagal, sekurang-kurangnya sudah ada kereta dan rumah- walaupun kecil!
Prinsip kewangan yang disebutkan adalah untuk melindungi diri kita daripada apa jua kecemasan yang mungkin berlaku. Dalam hidup, malang tidak berbau. Berbagai-bagai perkara boleh terjadi yang akan mengakibatkan masalah kewangan. Tugas kita yang pertama sekali adalah melindungi diri kita.
Pastikan kita mempunyai simpanan kecemasan yang boleh digunakan sekiranya sesuatu terjadi. Berapa banyakkah simpanan kecemasan yang diperlukan? Jawapannya adalah, hitung perbelanjaan bulanan anda, dan gandakan dengan 6. Angka tersebut adalah simpanan kecemasan minima yang perlu anda miliki. Sekiranya perbelanjaan bulanan anda adalah RM1,300, maka simpanan kecemasan anda perlu ada adalah sekurang-kurangnya RM7,800. 
Berapakah jumlah simpanan kecemasan anda kini? Sekiranya tidak mencapai 6 bulan perbelanjaan anda, anda adalah dalam keadaan yang amat merbahaya!

Thursday, February 14, 2013

Semai sifat tawaduk dalam diri

Manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang kesenangan yang diperoleh akan menjadi fitnah. - Gambar hiasan 
 
SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang tugasnya sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi. Setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak akan kekal selama-lamanya.
Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik hanyalah diberikan Allah sebagai ujian kepada manusia. Semua kenikmatan ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk 'membeli' syurga melainkan sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan pertimbangan agama.
Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh Allah SWT yang menguasai alam semesta ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (al-Israa': 37)
Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan bongkak di atas segala kurniaan tersebut. Dia tidak akan membangga diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan berbanding orang lain.
Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak memandang sepi terhadap orang yang lemah. Bahkan, manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan harta yang diperoleh itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan menyusahkannya di akhirat kelak.
Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Baginda.
Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya. Namun, apabila Nabi telah wafat dan masa telah berlalu, manusia akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah SWT berfirman: Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyiksanya. (riwayat Muslim).
Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah. Oleh itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.
Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan tunduk dan terbongkok-bongkok seperti yang dilakukan oleh orang yang mengaku soleh dan bertakwa.
Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian. Bahkan diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA bahawa Nabi SAW berjalan seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang yang penuh dengan semangat dan keberanian.
Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat. Sikap inilah yang wujud dalam diri Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh sehingga tidak mahu menerima kebenaran.
Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan nikmat sementara yang dikurniakan Allah sehingga lupa kepada nikmat hakiki di akhirat kelak.
Dalam surah Luqman, ayat 18, Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya: Dan janganlah engkau memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.
Jaga perilaku
Nabi Muhammad SAW adalah orang yang sentiasa menjaga perilakunya agar tidak dianggap sombong dan bongkak oleh masyarakat. Baginda sering meminta pandangan sahabat-sahabat melalui konsep syura sebelum melaksanakan agenda negara dan umat Islam walaupun Baginda akan mendapat bimbingan wahyu.
Sebagai contoh, Baginda pernah meminta pandangan Abu Bakar RA dan Umar RA tentang tawanan perang Badar. Baginda juga menerima pandangan Salman al-Farisi RA dalam mengatur strategi untuk menghadapi tentera Ahzab iaitu dengan menggali parit di sekeliling kota Madinah bagi menyekat kemaraan tentera musuh.
Nabi SAW juga sering dilihat bergaul mesra dengan sahabat-sahabat sehingga sukar untuk membezakan Baginda dan sahabat-sahabat sewaktu mereka bersama. Nah, lihatlah betapa mulianya pekerti Nabi SAW sehingga sanggup berdamping dengan sahabat-sahabat walaupun Baginda adalah Rasul yang ulung.
Dengan adanya sifat tawaduk dalam diri masing-masing, maka akan terpancarlah sahsiah yang sejati dalam diri individu Muslim itu.
Kesimpulannya, untuk menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah, individu Muslim itu perlulah menjaga hubungannya dengan individu yang lain. Salah satu (hablumminannas) di samping hubungannya dengan Allah SWT (hablumminallah).
Cara yang perlu dimainkan oleh setiap individu Muslim untuk mengutuhkan hubungannya dengan manusia lain adalah dengan menyemaikan sifat tawaduk dalam diri masing-masing.

Wednesday, February 13, 2013

Bina rumah anda di akhirat

SUATU hari, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan seorang ulama besar di Madinah bernama Abu Hazim Salamah bin Dinar. Khalifah bertanya kepadanya: "Wahai Abu Hazim, apa sebab yang membuat kami takut mati?"
Abu Hazim menjawab, "Sebabnya adalah engkau telah memewahkan rumahmu di dunia, dan meruntuhkan rumahmu di akhirat. Maka kamu takut berpindah dari rumah yang mewah ke rumah yang runtuh."
Benar ucapan Abu Hazim ini. Setiap manusia memiliki dua tempat tinggal. Tempat tinggal yang pertama sedang ia diami di dunia, dan sifatnya hanya sementara sahaja. Dan rumah satu lagi akan ia duduki kelak selepas mati dan sifatnya kekal abadi selamanya.
Rasulullah SAW selalu mengingatkan bahawa hidup kita di dunia ini hanya sementara. Kita ibarat seorang musafir yang tengah rehat di bawah pokok. Dan ia akan segera meninggalkan tempat itu untuk mencapai destinasi yang dituju.
Maka sungguh pelik jika ada musafir yang menghiasi tempat istirehatnya yang sementara itu dengan pelbagai sebab-sebab keselesaan dan lupa untuk menyimpan sesuatu untuk tempat tinggalnya yang kekal di destinasi nanti. Tidak terbayang penyesalan yang akan ia rasakan apabila tiba di destinasi itu namun tidak mendapatkan tempat selesa untuk didiami atau diduduki.
Amal soleh
Amal soleh adalah bekalan kita menuju Allah SWT. Tempat kita di akhirat ditentukan dengan berapa banyak amalan ibadah kita di dunia.
Sesiapa yang menginginkan rumah besar di syurga, dihiasi dengan taman-taman yang indah, dia boleh menempahnya dari sekarang. Iaitu dengan memperbanyak kerja-kerja yang diniatkan untuk manfaat agama dan umat Islam.
Kerja-kerja itu sangat beragam. Mulai daripada kerja seremeh menyingkirkan kotoran di jalan hingga kerja-kerja besar seperti pentadbiran negara.
Jadi, konsep amal soleh dalam Islam sangat luas dan tidak terhad pada ibadah-ibadah ritual semata. Ia meliputi perkara-perkara yang biasa kita lakukan sehari-hari.
Membuang sampah pada tempatnya yang disediakan adalah amal soleh.
Meletakkan kereta dalam posisi yang tidak mengganggu pengguna jalan yang lain adalah amal soleh.
Bahkan, tersenyum apabila berjumpa dengan jiran sebelah rumah juga amal soleh.
Sungguh banyak amal soleh yang boleh kita lakukan. Benar ucapan Abu Hazim: "Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang itu akan menjadi sangat mahal sehingga tidak mampu dibeli."
Barang-barang akhirat menjadi mahal apabila nyawa telah berada di tenggorokan. Pada saat itu, pintu taubat dan pintu amalan telah ditutup. Andai seseorang hendak bersedekah semua hartanya sekalipun, Allah tidak akan menerimanya.
Rumah siap
Hidup di dunia adalah satu kesempatan untuk membina rumah selesa di akhirat. Dan orang yang berakal tidak akan melepaskan kesempatan besar ini. Sebelum meninggal dunia, ia berusaha untuk memastikan ada rumah yang akan ia diami di syurga.
Ibnu Rajab al-Hanbali bercerita, suatu hari seseorang yang soleh berjumpa malaikat dalam mimpinya. Malaikat itu berkata: "Kami diperintahkan untuk menyelesaikan rumahmu di syurga. Rumah itu diberi nama: "Vila Kebahagiaan" (Dar al-Surur). Kami telah membina dan menghiasinya dengan sangat indah.
"Khabar gembira untukmu," lanjut malaikat, "setelah tujuh hari nanti, rumah itu akan rampung dibina."
Ibnu Rajab berkata: "Tujuh hari kemudian, orang soleh itu meninggal dunia."
Semoga Allah memberi kita taufik dan hidayah untuk kembali kepada Allah sebelum maut menjemput. Amin ya rabbal álamin.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, February 12, 2013

Pasar Kedai Payang bakal berubah wajah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Pasar Payang yang merupakan pusat jualan pelbagai tardisional terkenal di Terengganu bakal berubah wajah apabila ia digantikan dengan pasar baru empat tingkat yang berhawa dingin, tidak lama lagi.
Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang, tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dimulakan, semua peniaga di Pasar Payang akan dipindahkan ke tapak sementara di Pulau Warisan.
“Projek ini melibatkan pelaburan lebih RM400 juta dan akan dilaksanakan oleh syarikat swasta yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek RM1,000 secara one-off kepada Pesara Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini (5 Februari).
Hadir sama, Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran ATM, Dato’ Zulkifli Mazlan dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Terengganu, Encik Alias Razak serta 975 orang bekas tentera dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
“Projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun manakala kerja-kerja menyiapkan pasar sementara di Pulau Warisan memakan masa antara empat hingga enam bulan,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja memindahkan peniaga di Pasar Payang hanya boleh dilakukan apabila pasar sementara siap dan berharap peniaga bersabar kerana kerajaan akan menyediakan ruang niaga yang lebih selesa kepada mereka.
Katanya, kerajaan akan memilih satu antara tiga syarikat yang memohon mengendalikan projek berkenaan dan akan memilih yang terbaik bagi melancarkan perjalan projek berkenaan.
Menurutnya, nama Pasar Kedai Payang akan dikekalkan kerana ia sudah sinonim dengan pelancong dan pelawat ke negeri ini dan semua lot kedai akan dilengkapi dengan penghawa dingin bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung di situ.
Begitu juga dengan kemudahan tempat letak kereta akan ditambah menjadikan 400 petak kesemuanya bagi memudahkan orang ramai yang datang ke pasar berkenaan.
Menteri Besar kemudiannya menyerahkan cek RM1,000 seorang kepada 975 orang bekas tentera dari Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan kuala Nerus membabitkan kos keseluruhan RM975,000.

Unit Komunikasi Negeri

Thursday, February 7, 2013

Dari bas mini ke bas ekspres

Wartawan Sinar Harian
4 Februari 2013
Bas ekspres
Bas ekspres yang menjadi lambang kemegahan Agensi Pelancongan D & Adik Beradik.
KUALA LUMPUR -  Sebelum ini, Agensi Pelancongan D & Adik Beradik dikenali sebagai Persiaran Sewa Khas Adik Beradik yang telah ditubuhkan pada 1974 di Kuala Terengganu.

Pada awal penubuhannya, syarikat ini menjalankan perniagaan pengangkutan bas mini yang diusahakan oleh adik-beradik.

Pada 10 Ogos 1988, nama asal syarikat iaitu Persiaran Sewa Khas Adik Beradik telah ditukarkan kepada Agensi Pelancongan D & Adik Beradik berikutan dengan perniagaan yang semakin pesat berkembang.

Syarikat yang beroperasi atas platform bas persiaran telah mengorak langkah kepada operasi bas ekspres laluan Kota Bharu – Johor Bahru pada 1990.
Sejajar dengan peningkatan pengguna jalanraya bagi laluan Pantai Timur, syarikat ini telah menambah laluan yang baru iaitu Kuala Terengganu – Kuala Lumpur, Kuala Terengganu – Rantau Panjang dan Kuala Terengganu – Johor Bahru.

Pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi oleh syarikat ini, antaranya mengalami masalah kekurangan penumpang selama 2 tahun berturut-turut, kekurangan pemandu bas yang cekap dan berkaliber serta peningkatan kos penyelenggaraan dari masa ke semasa.

Lanjutan daripada ini, syarikat ini telah berusaha gigih untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan meningkatkan promosi dan mendapat khidmat nasihat dari SME Bank.

Kini, Agensi Pelancongan D & Adik Beradik telah mempunyai 20 bas ekspres di pelbagai laluan utama.

Syarikat ini telah berjaya mengembangkan perniagaannya dari industri kecil sehingga menjadi IKS yang boleh dibanggakan, hasil dari usaha dan kesungguhan pengusaha serta bantuan pembiayaan yang disalurkan oleh SME Bank melalui Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam (TPPA).

Bertepatan dengan nama syarikat ini iaitu Adik Beradik, kebanyakan pekerjanya mempunyai pertalian saudara bagi memudahkan urusan perniagaan syarikat ini.  Selain daripada itu, persefahaman juga mudah dipupuk di kalangan mereka.

Oleh itu, wujudlah persekitaran kerja yang kondusif untuk memudahkan operasi syarikat berkembang maju dan membolehkan Agensi Pelancongan D & Adik Beradik terus berdaya maju.