Saturday, April 24, 2010

Minda: Sindrom segan nak kaya

DALAM kehidupan masyarakat Melayu, sudah menjadi kelaziman untuk menggelarkan orang kaya sebagai Haji Bakhil.

Watak daripada filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee ini begitu sinonim dan sangat dikenali ramai. Bagaimanapun, gaya hidup seperti ini disalahertikan oleh masyarakat. Pengaruh Haji Bakhil memberi kesan sehingga ada yang membenci dan cemburu terhadap orang kaya. Saya percaya P Ramlee menonjolkan watak ini bertujuan mengingatkan orang kaya, dalam konteks hari ini membabitkan syarikat, korporat dan syarikat berasaskan kerajaan (GLC) yang kaya supaya tidak lupa diri membawa sikap nafsu-nafsi. Kalau bukan mereka, siapa lagi yang berupaya membantu mereka yang memerlukan serta menggunakan wang dan harta untuk membela nasib bangsa, agama dan negara? Siapa lagi yang berupaya mencergaskan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang kerja dan bisnes sekiranya yang kaya tidak berbelanja serta melabur untuk kepentingan bersama? Kerana takut dilabelkan Haji Bakhil, mungkin ada yang kaya tidak mahu menunaikan haji atau jika sudah haji, segan pula untuk menambah kekayaan. Lebih buruk lagi andainya ada di kalangan masyarakat yang tebal dengan sikap ‘segan nak kaya’ semata-mata kerana tidak sanggup digelar bakhil. Watak Haji Bakhil begitu berjaya ditonjolkan P Ramlee sehingga ramai yang melabelkan orang kaya itu seolah-olah semuanya bakhil! Pandangan ini boleh melemahkan semangat dan cita-cita menjadi kaya di kalangan masyarakat. Jika perumpamaan Melayu lama menyatakan ‘hidup segan, mati tak mahu’, keadaan orang Melayu dan Muslim hari ini pula boleh diumpamakan ‘kaya segan, miskin tak mahu.’ Tambahan apabila persepsi seperti ini dikaitkan dengan pandangan umum masyarakat Melayu bahawa wang ringgit dan harta kekayaan adalah punca kepada banyak kerosakan dalam kehidupan dan kepincangan dalam masyarakat.

Malang sekali sekiranya ramai Melayu yang segan nak kaya. Orang Melayu memang terkenal dengan sifat segan dan pemalu yang dikaitkan dengan nilai tertib dan sopan yang dianggap suatu nilai baik hingga terbawa-bawa dalam apa juga yang dilakukan. Namun, dalam konteks kehidupan hari ini, terlalu segan dan malu boleh merugikan, khasnya dalam persaingan bisnes dan ekonomi yang semakin sengit.


Hari ini, Melayu dan Muslim terus ketinggalan dalam ekonomi kerana kurangnya pembabitan mereka dalam bisnes. Ramai yang lebih selesa mengambil jalan selamat dalam hidup, takutkan cabaran serta tidak mahu mengubah sikap akibat daripada persepsi negatif terhadap imej bisnes. Lebih malang apabila ada Melayu dan Muslim malu menceburi bisnes dan segan bersaing dengan kaum lain dalam bidang ini. Tidak dinafikan bahawa tanggapan kita terhadap bisnes kadang-kala terlalu serong. Malangnya, banyak kita saksikan watak ahli bisnes yang tamak dan tidak bertimbang rasa serta syarikat dan korporat Melayu yang angkuh dan rakus. Persepsi ini mungkin didorong oleh salah faham terhadap bisnes atau kerana imej buruk ahli bisnes dan korporat sebagaimana watak dalam drama di televisyen! Filem atau drama Melayu sering memaparkan kisah berkaitan keluarga yang terbabit dalam bisnes. Sebahagian besar jalan ceritanya boleh dijangkakan. Babak seperti kelakuan buruk kerana kekayaan, perebutan harta pusaka, perebutan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) di kalangan anak-anak bagi menggantikan bapa yang meninggal dunia, penipuan, rasuah, lupa diri, skandal cinta buas dan liar menjadi pilihan penerbit, pengarah dan penulis skrip drama dan filem Melayu. Orang Melayu menganggap bahawa itulah sebenarnya imej dan budaya masyarakat bisnes dan korporat. Imej negatif ini membuatkan ramai yang terlupa manfaat bisnes yang lebih besar kepada kehidupan.


Dalam suasana mencabar hari ini, minda yang pasif, sikap segan dan malu bukanlah watak sesuai untuk maju dalam persaingan hidup yang tidak mengenal belas kasihan serta tidak bersimpati terhadap sopan santun dan budi bahasa. Semua yang malu merebut peluang dan kesempatan serta segan hendak kaya dan tidak sanggup ‘memecah ruyung’ di pasaran, tidak akan mendapat ‘sagu’ harta kekayaan akan ketinggalan. Satu lagi yang mungkin mempengaruhi minda Melayu sehingga segan hendak kaya adalah ajaran songsang segelintir pendakwah yang menggalakkan Melayu-Muslim mengenepikan kekayaan. Ajaran ini jelas songsang kerana Islam menegaskan di samping mengutama akhirat, kita tidak lupa tempat dan kewajipan kita di dunia. Kalau tidak bagaimana ingin menjadi umat terbaik atau khaira ummah di dunia dan menjadi khalifah di muka bumi? Lagipun hidup di dunia sajalah terdapat kesempatan untuk manusia beramal, beribadah, berjuang dan ‘berlumba-lumba dalam mengerjakan segala kebaikan’ (fastabiqul khairat), kerana akhirat hanyalah tempat pembalasan dari apa yang diamalkan di dunia. Hadis menyatakan sekalipun kita pasti esok akan kiamat, andainya terdapat benih di tangan, kita ditugaskan menanam benih itu! Satu lagi hadis menganjurkan supaya berkerja keras untuk dunia ‘seolah-olah kamu akan hidup selamanya dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati hari esok.’ Semua ini jelas menuntut supaya diseimbangkan antara dunia dan akhirat dan tidak hanya menumpu kepada akhirat semata-mata. Islam sendiri tidak antikekayaan. Selama ini, saya belum pernah mendengar mana-mana dalil mengatakan kekayaan boleh membawa kepada kekufuran. Saksikan ramai umat Islam terjerumus ke dalam mungkar kerana kemiskinan. Ada yang sanggup membunuh ibu, nenek atau keluarga sendiri untuk mendapatkan wang yang tidak seberapa, ada yang menjual maruah diri dengan harga murah dan ada pula menjadi peragut, perompak dan pengemis. Semua ini berpunca daripada kemiskinan dan cemburu terhadap kekayaan orang lain. Kini terdapat ramai yang bersifat ‘kaya segan miskin tak mahu’, namun sanggup pula mengambil jalan pintas untuk kaya dengan menghalalkan segala cara. Andai semua ini dibiarkan, keadaan akan bertambah teruk. Masyarakat seolah-olah kehilangan jati diri, pedoman budaya dan tuju arah tamadun.


Sudah tiba masanya Melayu dan umat Islam menterjemahkan hadis Rasulullah s.a.w yang menuntut umat Islam menjadi tangan yang di atas (alyadul ulya) kerana ia lebih mulia daripada tangan di bawah. Siapa itu tangan yang di atas? Mereka itulah orang yang berkemampuan untuk bersedekah, beramal jariah, menderma dan berwakaf. Siapa yang layak menjadi tangan yang di atas? Sudah tentulah mereka yang kaya untuk membantu mereka yang memerlukan. Di mana sumber utama kekayaan yang halal dan wajib diburu oleh Melayu-Muslim kalau tidak daripada bisnes? Justeru, kita perlu segera mengubah persepsi kita bahawa bisnes menjadi teras penguasaan ekonomi.


Langkah perlu dimulakan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Melayu dan Muslim yang mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. Ini boleh dilaksanakan menerusi pembudayaan bisnes sejak kecil lagi. Pendekatan sama ada melalui drama, filem, lagu termasuk permainan anak-anak boleh digunakan untuk membudayakan bisnes dan membisneskan budaya berlandaskan Islam di kalangan generasi baru.


Walaupun imej Haji Bakhil (jika perempuan, Hajah Bakhil?) mungkin menjadi punca harta kekayaan dan bisnes dipandang negatif, daripada perspektif lain, siapa lagi yang boleh menjadi ‘tangan yang di atas’ yang berupaya menebus nasib bangsa Melayu dan umat Islam? Alangkah baik sekiranya kita perbaharui persepsi dan pandangan kita terhadap orang kaya dan jutawan dalam masyarakat bukan seumpama watak Haji Bakhil, tetapi sebagai Abu Bakar Al Sidiq, Umar Al Khatab, Othman Al Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Semua personaliti agung Islam ini tidak segan memburu kekayaan. Namun, segala harta yang mereka peroleh adalah amanah dan tanggungjawab untuk membina dan membela umat Islam.

MINDA BISTARI: Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
HARIAN METRO:2010/04/22
Penulis ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia. www.businessjihad.com