Thursday, May 13, 2010

Miliki kediaman ikut bajet

Rumah yang selesa dan menarik di kawasan kejiranan yang aman serta berdekatan dengan pelbagai kemudahan pastinya menjadi idaman setiap pembeli.

Bagaimanapun, tidak semua beruntung dapat memiliki kediaman idaman yang mempunyai cirri-ciri yang diimpikan berikutan nilai rumah yang tinggi akibat daripada nilai hartanah yang mahal terutama di tengah-tengah kawasan Bandar.

Langkah pertama sebagai pembeli yang bijak, kita perlu selidik dulu kawasan hartanah yang bakal dimiliki. Tidak salah jika pada hari cuti terutama di hujung minggu, kita mengambil kesempatan bersiar- siar sambil meninjau kawasan perumahan yang menarik perhatian dengan melawat rumah contoh atau pejabat pemaju perumahan.

Lebih menguntungkan jika pemaju mengadakan hari terbuka yang membolehkan bakal pembeli melihat rumah contoh dan mendapatkan nasihat dari segi pinjaman kewangan dan undang-undang daripada pihak yang dijemput pemaju pada hari berkenaan.

Jadi, secara tidak langsung pembeli dapat gambaran awal mengenai kawasan rumah yang bakal dibeli selain mengetahui bajet yang diperlukan untuk memiliki kediaman idaman.

Tidak dinafikan nilai hartanah yang tinggi menyumbangkan kepada peningkatan harga rumah. Lazimnya, hartanah di kawasan tengah Bandar yang dipenuhi pelbagai kemudahan termasuk laluan masuk yang banyak dan berdekatan dengan pusat perniagaan mempunyai nilai yang tinggi.

Tentunya harga rumah turut mahal. Mungkin harga seunit pangsapuri di kawasan Bandar sama harganya dengan rumah teres dua tingkat di pinggir Bandar atau rumah banglo di kawasan luar Bandar.

Bagi yang belum mendirikan rumah tangga atau bilangan ahli keluarga yang kecil atau pasangan yang baru berkahwin tentunya tinggi di pangsapuri tiga bilik tidak menjadi masalah dan masih berasa selesa.

Tetapi bagi yang mempunyai keluarga yang besar, tertentunya lebih selesa jika dapat memiliki rumah yang lebih luas dan mempunyai laman untuk anak-anak bermain.

Kediaman yang dekat dengan tempat kerja sering menjadi pilihan kerana ia dapat mengurangkan kos pengangkutan termasuk minyak kenderaan dan tol. Selain itu, pilihlah kawasan kediaman yang mempunyai jalinan pengangkutan awam atau lebuh raya bagi memudahkan urusan.

Kejiranan yang aman juga perlu diambil kira selain kemudahan asas seperti padang permainan, surau, masjid, sekolah dan pusat asuhan kanak-kanak juga memainkan peranan penting bagi pemilihan rumah idaman.

Pilihlah pemaju perumahan yang mempunyai rekod yang baik bagi mengelakkan kita membeli rumah yang berkualiti rendah dengan harga yang mahal, selain mengelakkan kerugian akibat kelewatan rumah disiapkan sehingga menyebabkan pembeli terpaksa menanggung beban hutang dengan institusi kewangan.

Reka bentuk rumah juga memainkan peranan kerana kita bukan tinggal di rumah sehari dua tetapi bagi tempoh yang lama. Jika rumah yang cantik dan selesa tentunya kehidupan harian lebih sempurna.

Nah, apa lagi pilihan di tangan anda. Apa-apa pun, jadilah pembeli yang bijak dan membeli rumah idaman mengikut bajet masing-masing.

Tip- tip:
• Selidik latar belakang pemaju
• Meninjau kawasan perumahan yang sesuai
• Memilih kejiranan yang aman
• Berdekatan dengan tempat kerja
• Pilihlah kawasan perumahan yang mempunyai kemudahan asas seperti surau, sekolah, taman asuhan kanak-kanak, masjid dan pasar raya.
• Pilihlah kawasan perumahan yang mempunyai rangkaian laluan seperti lebuh raya dan pengangkutan awam.

Berita Harian khamis,13 mei 2010 : 1klassifieds oleh Mona Ahmadmona@bharian.com.my