Monday, July 11, 2011

BNM Naikkan OPR Dan SRR Kepada 3 % kuatkuasa 16 Mei lalu

Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, berkuat kuasa serta merta, manakala Keperluan Rizab Berkanun (SRR), akan dinaikkan daripada 2.00 peratus kepada 3.00 peratus, berkuat kuasa 16 Mei.

Kadar lantai dan siling koridor bagi OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.75 peratus dan 3.25 peratus, demikian menurut bank pusat dalam satu kenyataan Khamis.

BNM berkata pemulihan ekonomi global berterusan pada suku pertama tahun ini tetapi pertumbuhan tidak seimbang di seluruh rantau.

Pertumbuhan di ekonomi maju, semasa tempoh berkenaan, kekal sederhana.

Di rantau ini, meskipun sederhana, pertumbuhan kekal kukuh, disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang kukuh.

Bagaimanapun, inflasi global meningkat dengan kenaikan harga tenaga dan komoditi. Di beberapa negara, tekanan menaik terhadap inflasi disebabkan oleh keadaan permintaan domestik

Menurut BNM, walaupun pemulihan dunia dijangka berterusan, pada masa depan, risiko yang menunjukkan penurunan meningkat, bertambah daripada kemungkinan harga tenaga dan komoditi yang lebih tinggi, gangguan bekalan susulan perkembangan di Jepun dan peningkatan ketidaktentuan dalam aliran modal ke ekonomi-ekonomi baru muncul.

Bagi ekonomi dalam negara, petunjuk terkini menunjukkan pengukuhan berterusan pelaburan swasta dan perbelanjaan penggunaan swasta mampan pada suku pertama.

Prestasi eksport juga bertambah baik disokong oleh permintaan serantau.

Mengenai masa depan, BNM berkata penilaian bagi ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan laluan pertumbuhan teguh dan pertumbuhan pulih secara beransur-ansur.

Menurut kenyataan itu, pertumbuhan akan disokong oleh pengembangan kukuh permintaan domestik, dan keadaan pekerjaan yang mampan dan pertumbuhan pendapatan dijangka menyediakan sokongan kepada penggunaan persendirian, manakala pelaburan swasta diunjur mengukuh dalam persekitaran pelabur yang bertambah baik.

Perkembangan di Jepun dijangka memberi kesan yang terhad terhadap keseluruhan ekonomi domestik, kata bank pusat dan menambah bahawa prospek positif bagi rantau ini dan permintaan kukuh bagi komoditi akan terus menyokong ekonomi Malaysia.

BNM berkata inflasi domestik terus meningkat, naik kepada tiga peratus pada Mac kepada purata 2.8 peratus pada suku pertama 2011, terutamanya disebabkan oleh harga bahan api dan makanan yang lebih tinggi.

Penilaian adalah bahawa faktor bekalan akan terus menjadi penentu utama yang mempengaruhi harga pengguna. Harga tenaga dan komoditi global diunjur kekal meningkat semasa tahun berkenaan, dengan inflasi rakan dagang utama juga diunjur terus naik, katanya.

Bank pusat juga berkata yang beberapa petunjuk faktor permintaan domestik boleh memberi tekanan menaik terhadap harga pada separuh kedua tahun - PETIKAN BERNAMA.