Tuesday, July 12, 2011

Nurul Badzlin juara tilawah

WAKAF TENGAH – Kecil-kecil cili padi. Itu yang dapat digambarkan kepada Johan Pertandingan Tilawah al-Quran kategori perempuan sekali gus merangkul johan keseluruhan pertandingan.

Pemenang, Nurul Badzlin Basirah Azhari, 11 mula mendalami kitab suci itu sejak usia lima tahun di rumah tok gurunya di Taman Perumahan Wakaf Tengah (TPWT), yang dikenal sebagai Ustazah Diyanah lepas waktu Subuh.

“Tahun lepas saya sudah memasuki pertandingan ini, tetapi tidak mendapat sebarang hadiah, dan nasib saya baik apabila kali ini berjaya mengalahkan 23 lagi peserta lain yang turut serta dalam pertandingan ini.

“Walaupun ini kejayaan pertama, saya akan terus mendalami kitab suci untuk mendapat kefahaman yang lebih mendalam,” katanya pada Majlis Tilawah al-Quran TPWT 12 tahun ke bawah Peringkat Zon Pantai Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh kali ketiga di Dewan Orang Ramai TPWT, di sini.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang diperoleh, malah akan melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

Sementara itu, ibunya, Hasnida Mamat, 37 berkata, sebagai ibu, dia turut mengajar Nurul Badzlin Basirah mengaji al-Quran di rumah.

“Pengamatan dalam kitab suci ini perlu diberi penekanan kerana hanya dengan ilmu agama yang kukuh sahaja dapat me-ngelak anak daripada terjebak dengan gejala negatif,” katanya.