Sunday, July 10, 2011

Maksud Homestay

Program Homestay Malaysia telah dilancarkan pada tahun 1995 di Temerloh,
Pahang oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Program
ini merupakan sebuah inisiatif di bawah Pelan Induk Pelancongan Luar Bandar yang
bertujuan untuk meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar di dalam sektor
pelancongan.

Homestay adalah merupakan satu bentuk pengalaman di mana pelancong tinggal
bersama keluarga tuan rumah pengusaha homestay yang telah berdaftar dengan
Kementerian Pelancongan. Para pelancong berpeluang untuk berinteraksi serta
mengalami gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan mereka.
Konsep utama yang ditekankan bagi produk ini adalah lebih kepada produk
pelancongan lifestyle atau yang berunsurkan pengalaman.
Objektif utama pelaksanaan Program Homestay Malaysia adalah untuk memenuhi
kehendak dua kumpulan sasar iaitu:

(i) masyarakat kampung:

- berkongsi manfaat daripada sektor pelancongan kepada semua lapisan
masyarakat dengan menggalakkan penyertaan penduduk luar bandar di
dalam industri pelancongan;
- meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat kampung, di
mana kekayaan daripada industri pelancongan dapat dinikmati bersama
oleh semua lapisan masyarakat; dan
- melahirkan usahawan pelancongan di kalangan masyarakat desa.

(ii) para pelancong:

- menyediakan pengalaman unik kepada para pelancong yang berminat
untuk mengalami kehidupan serta kebudayaan masyarakat kampung;
dan mewujudkan produk pelancongan hospitaliti desa dengan harga yang
kompetitif dan bertaraf antarabangsa.

Program ini adalah berbeza dengan konsep kemudahan penginapan sederhana lain
seperti ‘bed & breakfast’ di mana tidak ada keluarga yang tinggal bersama dan sistem
pengurusannya adalah sepertimana pengurusan hotel biasa. Perkhidmatan Rumah Penginapan,Rumah Rehat,rumah tumpangan,rumah sewa bukan di namakan Homestay.