Oleh: Irfan Khairi
Apa yang membezakan orang kaya dan berjaya dan mereka yang kurang berjaya
dalam kewangan? Bezanya adalah, mereka yang berjaya dalam kewangan mempunyai
tabiat kewangan yang sihat. Berikut adalah 4 tabiat kewangam sihat yang anda
mesti miliki!
1. Bayar
diri sendiri terlebih dahulu
Untuk berjaya dalam kewangan, tabiat kewangan yang sihat diperlukan. Tabiat
yang paling utama dan penting adalah untuk membayar diri sendiri terlebih
dahulu. Ertinya tidak kira perbelanjaan bulanan kita, sebahagian daripada
pendapatan kita perlu diketepikan untuk diri sendiri SEBELUM melakuan bayaran
bil, kereta, rumah, dan apa sahaja perbelanjaan. Dan pastinya, sebahagian ini
bukan juga untuk dibelanjakan!
Buku-buku kewangan menyarankan sekurang-kurangnya, ketepikan 10% daripada
pendapatan kita untuk diri sendiri. Namun, angka 10% ini adalah untuk permulaan.
Apabila kita berjaya menanam tabiat menyimpan untuk diri sendiri, lama kelamaan,
peratusan ini boleh dinaikkan sehingga 20% dan lebih!
Ada juga yang bertanya, apa perlu kita lakukan sekirnaya 10% pun kita tidak
dapat menyimpan oleh kerana tanggungan perbelanjaan bulanan adalah tinggi?
Jawapannya, mulakan bayaran kepada diri sendiri pada 2% dulu. Dan secara
beransur-ansur, naikkan nilai ini sehingga 10%.
Kaedah menyimpan sebegini adalah amat penting supaya hingga satu masa,
menyimpan tidak menjadi sukar dan ianya menjadi tabiat.
2. Tabiat
menjejak wang masuk dan keluar
Kekayaan bukan sekadar berapa banyak kita perolehi, tetapi, ia juga
bermaksud, berapa banyak kita belanjakan. Sekiranya kita berpendapatan RM10,000
sebulan, tetapi perbelanjaan Rm15,000 sebulan (jangan terkejut, ramai yang
sebegini!), maka, kewangan kita gagal!
Setiap hari, amalkan tabiat mencatit segala perbelanjaan kita. Dengan
mencatit perbelanjan, kita tahu secara terperinci di mana kewangan kita pergi.
Dulu, mungkin saya menyarankan mencatit dalam buku nota 555 ;) Tetapi, hari ini
yang serba canggih dimana ramai antara kita memiliki smart phone, apa kata anda
download perisian mengurus wang yang boleh didapati secara percuma. Contohnya,
Expense Manager untuk Android.
Tabiat mencatit segala wang keluar setiap hari akan membolehkan kita menjejak
wang kita setiap minggu, dan setiap bulan.Dengan mengetahui segala wang keluar,
kita boleh melakukan analisa sikap perbelanjaan kita- dan pastinya kita akan
tahu di mana perlu kita kurangkan perbelanjaan sekiranya perlu.
3. Tabiat
menambahkan aliran pendapatan
Untuk menjadi kaya, hanya dua sahaja perkara yang boleh dilakukan. Iaitu,
kurangkan perbelanjaan, dan satu lagi adalah, tambahkan pendapatan.
Melalui ilmu yang dimiliki daripada tabiat membaca dan belajar, fikirkan
cara-cara menambahkan pendapatan kita. Dengan memiliki pelbagai aliran
pendapatan yang berlainan, bukan sahaja kita bersikap berhati-hati sekirannya
salah satu rezeki pendapatan kita terputus, tetapi, dengan mempunyai aliran
pendapatan berganda, kekayaan dapat dibina dengan lebih pantas.
Aliran pendapatan boleh terdiri berbagai bentuk, termasuk pelaburan,
hartanah, menjalankan perniagaan, royalty, komisyen dan sebagainya.
Kebanyakan orang kaya dan berjaya bukan sekadar mempunyai satu punca
pendapatan sahaja, tetapi mempunyai banyak aliran pendapatan yang berlainan.
Jadikan tabiat ini, sebagai tabiat anda!