Wednesday, September 19, 2012

Bajet Tumpu Sektor Hartanah

Sektor hartanah dijangkakan antara yang diberikan tumpuan dalam Bajet 2013 yang akan dibentangkan hujung bulan ini, dengan manfaatnya bakal menjurus kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, serta pembeli rumah kali pertama.
Penganalisis di TA Securities, Thiam Chiann Wen berkata, bajet tahun depan itu mungkin akan menggembirakan pemaju hartanah, tetapi akan mengecewakan spekulator sektor itu.
Beliau menegaskan, perkara utama yang dijangkakan diberikan perhatian pada bajet itu ialah mengenai kaedah menangani masalah kemampuan memiliki kediaman.

Tangani isu harga rumah melambung

“Bagi menangani harga rumah daripada melambung lebih tinggi, kami menjangkakan kerajaan mempercepatkan program jualan tanah untuk membolehkan lebih banyak rumah mampu milik, atau di bawah skim PR1MA dibina.
“Ia adalah mustahak kerana sektor swasta dilihat mengasingkan diri daripada membina rumah mampu milik kerana peningkatan harga tanah, atau kos peluangnya tinggi memandangkan pemaju mungkin tidak mampu memajukan simpanan tanah pada kos yang rendah,” katanya.
Berikutan itu, beliau berkata dijangkakan lebih banyak pelan konkrit mengenai rancangan pembangunan semula tanah kerajaan bakal disertai pemaju hartanah utama, dengan kemungkinan berlakunya urus niaga tukaran tanah.
“Dengan pelancaran rasmi Tun Razak Exchange (TRX) yang bernilai RM26 bilion bulan lalu, kami menjangkakan pembangunan semula tanah kerajaan lain akan meraih momentum tahun depan.
“Berkemungkinan projek mega akan datang ialah pembangunan tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh memandangkan anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru saja memuktamadkan urus niaga dengan institut itu pada harga RM22.50 sekaki persegi,” katanya.

Umum kapasiti pinjaman

Thiam berkata, kerajaan juga dijangka mengumumkan kapasiti meminjam untuk pembeli rumah kali pertama pada pembentangan bajet kali ini.
Pada pembentangan bajet tahun lalu, kerajaan menaikkan harga siling rumah di bawah skim ‘Rumah Pertamaku’ daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Pinda keperluan pendapatan

Buat masa ini, kriteria bayaran semula bulanan mesti tidak melebihi satu pertiga daripada pendapatan bulanan pemohon untuk rumah di bawah harga RM220,000 yang sukar didapati di kawasan bandar.
“Kami menjangkakan kerajaan akan meminda keperluan pendapatan daripada RM3,000 sebulan kepada RM6,000 sebulan,” katanya.
Bagi membendung pembelian spekulatif, beliau berkata kerajaan dijangka memperkenalkan duti setem penjual serta meningkatkan lagi cukai keuntungan hartanah (RPGT).
“Sebelum ini spekulasi berlebihan dilihat sebagai punca utama kenaikan keterlaluan harga hartanah. Kami menjangka kerajaan akan menimbang mengenakan duti setem penjual (SSD) bagi penjualan hartanah kediaman dibeli pada 2013 dan menjualnya setahun selepas pembelian itu dibuat,” katanya.

Insentif kepada pemaju

Bagi pemaju hartanah, Chiann Wen berkata kerajaan dijangka memberi insentif kepada syarikat yang membina perumahan mampu milik di kawasan bandar.
Katanya, ini termasuk membenarkan syarikat terbabit membina rumah kos sederhana berbanding kos rendah bagi membolehkan mereka mengekalkan operasi perniagaan masing-masing serta menikmati mekanisme pelepasan automatik untuk unit Bumiputera yang tidak dijual.
“Kami menjangkakan insentif sedemikian adalah berdaya maju untuk menggalakkan pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik dalam jangka panjang,” katanya.
Sumber: Berita Harian