Saturday, September 1, 2012

Kenaikan semua kos punca harga rumah melonjak

ARKIB : 01/09/2012.

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) hari ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan kenaikan harga rumah di bandar adalah disebabkan manipulasi harga oleh pemain dalam industri tersebut.
Timbalan Presidennya Datuk FD Iskandar FD Mansor berkata, REHDA tidak pernah sesekali pun menentang kuota hartanah yang diperuntukkan kepada pembeli bumiputera, malah sentiasa menyokong dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan Persekutuan.
Justeru, katanya, dakwaan yang menyatakan kenaikan harga kediaman tinggi di bandar adalah sebagai usaha untuk mengusir bumiputera ke luar bandar atau kampung adalah satu tuduhan salah.
Sebaliknya, beliau menegaskan lonjakan harga kediaman di bandar berpunca daripada peningkatan berganda harga tanah kerana kawasan yang ada semakin terhad.
"Pada 10 tahun lalu harga seekar tanah bernilai RM200,000 tetapi hari ini, harganya antara RM15 hingga RM20 sekaki persegi.
"Itu belum lagi masuk kos pembinaan, gaji pekerja dan kos-kos bagi melengkapkan sesebuah projek penempatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan dua penulis ruangan Forum Utusan Malaysia, Bumbung Merah dan Insan 1Malaysia mengenai kenaikan harga rumah yang dikatakan hasil 'permainan harga' REHDA untuk mengusir dan meminggirkan pembeli bumiputera.
Penulis-penulis itu mendakwa harga rumah yang melebihi RM300,000 ke atas hanya mampu dibeli oleh pekerja swasta dan warga asing yang berpendapatan RM6,000 sebulan.
FD Iskandar berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas kerana margin keuntungan syarikat pemaju terbesar negara, SP Setia Bhd. dan Sime Property Bhd. antara 18 hingga 20 peratus sahaja.
"Jika dibandingkan dengan keuntungan yang dicatatkan oleh institusi perbankan, jurangnya tersangat jauh.
"Keuntungan 18 hingga 20 peratus itu dibuat oleh syarikat besar, bayangkanlah kalau pemaju kecil, peratus keuntungan memanglah kecil," katanya.
Beliau berkata, pada tahun lalu, sebanyak 200,000 unit rumah telah dijual dan 50 peratus adalah kediaman baharu manakala bakinya rumah terpakai.
Daripada jumlah berkenaan, menurutnya, hanya 1.3 peratus sahaja dijual kepada warga asing, itu pun kediaman yang berharga RM500,000 ke atas.
"Jumlah kediaman yang dijual kepada warga asing itu sangat kecil berbanding di Singapura sebanyak 36 peratus," katanya.
Beliau berkata, masalah untuk membeli kediaman tidak sepatutnya menjadi isu kerana para pemaju memberi pelbagai pilihan kepada pembeli.
"Sekiranya pembeli mahu berada dalam lingkungan pusat bandar Kuala Lumpur, mereka tidak mempunyai pilihan dengan lonjakan harga kediaman yang akan terus meningkat.
"Pembeli di Kuala Lumpur hanya boleh membuat pilihan jenis kediaman iaitu kondominium, apartmen dan rumah pangsa,'' ujarnya..
Bagaimanapun, katanya, sekiranya pembeli mahu menduduki rumah bertanah pada harga munasabah, mereka masih boleh mendapatkannya di kawasan Bangi, Sungai Buloh, Sepang dan Rawang. Kawasan-kawasan ini juga terletak di kawasan Greater Kuala Lumpur.
"Masalahnya, masih ramai pembeli yang mahu duduk di Kuala Lumpur dengan alasan berhampiran dengan pejabat.
"Rumah memang banyak tetapi harganya mahal," ujar beliau.
- Utusan Malaysia.