Monday, October 21, 2013

Malaysia selamat - Zeti


Zeti Akhtar Aziz (kiri) merasmikan Jurnal Kestabilan Kewangan SEACEN bersama Pengarah Eksekutif The SEACEN Centre, Hookyu Rhu pada Persidangan Ulang Tahun ke-30 SEACEN yang diadakan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Malaysia tidak mengalami masalah gelembung aset kerana negara sudah menangani isu itu bagi mengelakkan ia dari berlaku.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, bagi mengelakkan perkara itu, tiga siri langkah perlindungan makro sudah diperkenal tahun ini.
"Langkah ini dibuat bagi mengelak pembentukan gelembung itu," katanya ketika sidang media selepas Persidangan Ulang Tahun ke-30 Bank-bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) bagi Penyepaduan dan Kestabilan Kewangan.
Beliau berkata demikian mengulas soalan sama ada Malaysia akan mengalami gelembung aset sekiranya ekonomi China merundum, selain kenaikan kadar faedah global.
Pada majlis itu juga, Zeti telah melancarkan Jurnal Kestabilan Kewangan SEACEN.
Jelasnya, situasi pada masa ini berbanding pada 1997 dan 1998 adalah berbeza.
"Malaysia kini dalam kedudukan untuk pertumbuhan yang berkembang, manakala kedudukan kewangan kekal berdaya tahan dan bekalan kredit tidak terganggu.
"Permintaan domestik kini memacu pertumbuhan ekonomi dan Malaysia tidak termasuk dalam krisis kewangan global semasa," ujarnya.
Zeti berkata, keyakinan terhadap sistem kewangan di negara ini semakin kukuh.
"Ia meningkat berikutan tumpuan ke atas reformasi kewangan pada dekad ini yang mengukuhkan asas sistem kewangan negara," katanya.