Tuesday, October 1, 2013

RM1.5 bilion bangunkan GDV D'Pristine@Medini


Mohamed Khaled Nordin melihat model bangunan perniagaan dan kediaman D'Pristine @ Medini yang akan dibina di Nusajaya sempena majlis Pecah Tanah Projek D'Pristine @ Medini di Nusajaya, Johor Bahru, semalam.
NUSAJAYA 30 Sept. - Satu lagi projek pembangunan bercampur yang menawarkan gaya hidup moden, bermutu dan berprestij dikenali sebagai D'Pristine @ Medini akan dibangunkan di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.
Projek yang dibina di atas tanah seluas 3.28 hektar dengan keluasan pembangunan kasar lebih dua juta kaki persegi itu dibangunkan Syarikat D'Pristine Medini Sdn. Bhd. (D'Pristine Medini) di kawasan Iskandar Malaysia.
Pengarah projek, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, projek tersebut bakal dibangunkan dalam tiga fasa di atas tiga bidang tanah terletak di kawasan bandar Medini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2016.
"Pembangunan tersebut merangkumi tiga tingkat pusat beli-belah, dua menara SOFO (projek pejabat kecil pejabat fleksibel), menara pejabat korporat, hotel bertaraf empat bintang dan lima tingkat tempat letak kereta.
"Kawasan ini dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta menjadi tumpuan pelabur," katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek D'Pristine @ Medini yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Pengasas MCT, Tan Sri Barry Goh.
Mohd. Arifin berkata, setiap komponen tersebut dibina dengan menyasarkan segmen pelanggan yang berbeza kerana menawarkan fungsi berlainan melalui reka bentuk senibina moden dan menarik bersesuaian pada masa kini.
D'Pristine Medini merupakan sebuah syarikat pemaju yang dimiliki penuh oleh B&G Capital Resources Bhd. (B&G Capital) yang terkenal dengan jenama MCT yang berjaya menyiapkan projek pembangunan bernilai RM2 bilion di negara ini.
Kumpulan syarikat itu juga sedang mengusahakan 10 projek pembangunan bernilai RM3 bilion dan mempunyai simpanan tanah seluas 360 hektar di beberapa tempat yang mampu menghasilkan nilai pulangan sebanyak RM15.3 bilion.