Monday, October 28, 2013

Usahawan PKS masih kurang manfaatkan kemudahan ICT


Kuala Lumpur: Kebanyakan perniagaan di Malaysia terutama dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) masih kurang menggunakan kemudahan Informasi dan Teknologi Maklumat (ICT) kerana sumber kewangan yang terhad, kekurangan pengetahuan teknologi dan kos juruteknik serta aplikasi perisian tinggi.
Laporan Ekonomi 2013/2014 menyatakan capaian Internet adalah rendah oleh PKS dan usahawan Malaysia disebabkan kos jalur lebar dan pendaftaran domain yang tinggi. Sebagai contoh, kos sebanyak AS$143 dikenakan bagi mendaftar domain di Malaysia berbanding AS$64 di Taiwan dan AS$24 (Amerika Syarikat). PKS merangkumi 97.3 peratus atau 645,136 daripada semua pertubuhan perniagaan di Malaysia namun hanya kira-kira 100,000 perniagaan yang mempunyai laman web manakala hanya 20 peratus daripada PKS menggunakan ICT secara meluas dalam operasi harian mereka. Pada 2010, penembusan jalur lebar dalam kalangan perniagaan di Malaysia adalah rendah pada kadar 33 peratus manakala perbelanjaan pengiklanan dalam talian adalah rendah sekitar hanya satu peratus daripada bajet perniagaan di Malaysia.

PKS dan usahawan perlu mengubah cara tradisional dalam menjalankan perniagaan memandangkan penggunaan ICT adalah rendah dan kurang memanfaatkan Internet bagi mengembangkan perniagaan masing-masing. Menyedari potensi dan manfaat memperkasakan PKS serta usahawan melalui internet, maka kerajaan meningkatkan usaha dalam beberapa inisiatif seperti Program Digital Malaysia, peruntukan geran RM24.5 juta untuk membiayai projek kandungan dalam peranti Internet mudah alih dan platform web oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Selain itu, kerajaan turut menyediakan cukai ke atas perbelanjaan modal bagi perkhidmatan jalur lebar oleh penyedia kemudahan sambungan terakhir, pelaksanaan infrastruktur dan rangkaian jalur lebar melalui projek perkongsian awam-swasta jalur berkelajuan tinggi dengan Telekom Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/28     Google +