Wednesday, October 30, 2013

Saga SV lonjakkan jualan Proton

29 Oktober 2013
  • Saga SV  
  • Saga SV
PROTON Holdings Bhd telah menjual 43,260 unit dalam suku ketiga 2013, meningkat 27 peratus berbanding dengan suku yang sama 2012, terutama dipacu oleh pengenalan Proton Saga SV pada Jun tahun ini.
  
Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata Saga SV telah membantunya mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 72 peratus dalam jualan keseluruhan Saga pada suku ketiga berbanding suku kedua 2013.
  
Dalam tempoh empat bulan, lebih 22,000 unit Saga SV telah didaftarkan, katanya.
  
Ketua Pegawai Operasi Proton (Komersil), Hisham Othman berkata, Saga SV akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama pengguna untuk sedan peringkat kemasukan ekoran proposisi jualannya yang unik, penarafan keselamatan Asean tiga bintang dan harga yang begitu kompetitif iaitu bermula hanya dari RM33,438.
  
Tawaran terbaru Proton, Suprima S, turut mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengguna sejak pelancarannya pada Ogos, kata beliau.
  
"Sementara kita telah melihat pertumbuhan menggalakkan di dalam pasaran domestik, kita tahu landskap automotif sememangnya amat mencabar dan berdaya saing," katanya.
  
Hisham juga berkata pengenalan baharu dari Proton boleh dijangkakan dalam tempoh enam bulan ini kerana pembuat kereta negara itu akan terus menyediakan pelbagai model yang memenuhi keperluan dan jangkaan para pembeli.  - Bernama

Tuesday, October 29, 2013

RPGT tinggi beri kesan spontan pasaran

27 Oktober 2013

SEMAKAN semula menaik Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) adalah satu langkah drastik dan mungkin mengakibatkan kesan spontan dalam industri harta, seterusnya menjejaskan sentimen pembeli.

Penaung dan bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha), Datuk Ng Seing Liong berkata, peningkatan pada kadar RPGT tidak akan mengurangkan harga harta dan menggesa kerajaan menimbangkan cara lain untuk mengurangkan harga harta.

“Kami tidak fikir dengan menaikkan RPGT, harga harta akan turun secara mendadak.

“Kami selama ini telah menggesa kerajaan bahawa satu-satunya cara untuk menurunkan atau menstabilkan harga harta ialah dengan menyediakan lebih banyak bekalan dalam pasaran,” katanya.

Dalam Bajet 2014, RPGT dinaikkan kepada 30 peratus untuk harta yang dijual dalam tempoh pegangan tiga tahun.

Bagi penjualan dalam tempoh pegangan sehingga empat dan lima tahun, kadar itu naikkan kepada masing-masing 20 dan 15 peratus.

Bagi penjualan pada tahun keenam dan selanjutnya, tiada RPGT dikenakan, sementara syarikat di cukai pada lima peratus.

Sementara itu, Presiden Redha, Datuk Seri Micheal Yam berkata, kenaikan RPGT akan mengekang belian spekulatif, walaupun sebilangan pembeli sebenar mungkin terjejas.

“Mungkin beberapa perincian perlu dibuat. Pasaran umum akan menjual harta mereka lambat sedikit dan ini akan mengurangkan bekalan dalam pasaran,” katanya.  - Bernama

Monday, October 28, 2013

Usahawan PKS masih kurang manfaatkan kemudahan ICT


Kuala Lumpur: Kebanyakan perniagaan di Malaysia terutama dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) masih kurang menggunakan kemudahan Informasi dan Teknologi Maklumat (ICT) kerana sumber kewangan yang terhad, kekurangan pengetahuan teknologi dan kos juruteknik serta aplikasi perisian tinggi.
Laporan Ekonomi 2013/2014 menyatakan capaian Internet adalah rendah oleh PKS dan usahawan Malaysia disebabkan kos jalur lebar dan pendaftaran domain yang tinggi. Sebagai contoh, kos sebanyak AS$143 dikenakan bagi mendaftar domain di Malaysia berbanding AS$64 di Taiwan dan AS$24 (Amerika Syarikat). PKS merangkumi 97.3 peratus atau 645,136 daripada semua pertubuhan perniagaan di Malaysia namun hanya kira-kira 100,000 perniagaan yang mempunyai laman web manakala hanya 20 peratus daripada PKS menggunakan ICT secara meluas dalam operasi harian mereka. Pada 2010, penembusan jalur lebar dalam kalangan perniagaan di Malaysia adalah rendah pada kadar 33 peratus manakala perbelanjaan pengiklanan dalam talian adalah rendah sekitar hanya satu peratus daripada bajet perniagaan di Malaysia.

PKS dan usahawan perlu mengubah cara tradisional dalam menjalankan perniagaan memandangkan penggunaan ICT adalah rendah dan kurang memanfaatkan Internet bagi mengembangkan perniagaan masing-masing. Menyedari potensi dan manfaat memperkasakan PKS serta usahawan melalui internet, maka kerajaan meningkatkan usaha dalam beberapa inisiatif seperti Program Digital Malaysia, peruntukan geran RM24.5 juta untuk membiayai projek kandungan dalam peranti Internet mudah alih dan platform web oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Selain itu, kerajaan turut menyediakan cukai ke atas perbelanjaan modal bagi perkhidmatan jalur lebar oleh penyedia kemudahan sambungan terakhir, pelaksanaan infrastruktur dan rangkaian jalur lebar melalui projek perkongsian awam-swasta jalur berkelajuan tinggi dengan Telekom Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/28     Google +  

Thursday, October 24, 2013

Malaysia terajui kewangan Islam


  • Malaysia terajui kewangan Islam 
  •  Azrulnizam (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pengarah Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (Irti), Datuk Mohamed Azmi Omar, sambil diperhatikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Al Rajhi Bank Malaysia, Syed Maqbul Quarder.
MALAYSIA kekal menerajui pasaran sukuk dunia dengan nilai tertinggi RM468.64 bilion (AS$245.3 bilion) atau 60.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran itu bagi penggal kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Malaysia (Al Rajhi), Datuk Azrulnizam Abdul Aziz berkata, kedudukan Malaysia itu diikuti Arab Saudi yang memiliki pasaran sukuk bernilai RM101.2 bilion (AS$32 bilion) atau 13 peratus daripada sukuk global.

"Pasaran sukuk dunia bernilai RM775.68 bilion (AS$245.3 bilion) pada enam bulan pertama 2013, meningkat tujuh peratus berbanding tahun lalu dan 16.4 peratus secara tahunan.

"Bagaimanapun, momentum sukuk dijangka terus meningkat dan tidak akan terjejas dengan permintaan tinggi akibat pelabur menghadapi kesukaran dalam membangunkan dan menyatukan pasaran," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Al Rajhi dan Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (Irti) di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Azrulnizam berkata, kerjasama itu menyediakan rangka kerja antara dua institusi dalam pembangunan sukuk dan platform untuk bertukar pendapat mengenai isu dan standard syariah.

Katanya, Al Rajhi berbincang mengenai kerjasama ini sejak dua bulan lalu bertujuan menyokong terbitan sukuk dan aktiviti pasaran modal Islam di kalangan negara ahli Bank Pembangunan Islam.

"Melalui kerjasama itu, Irti ditugaskan untuk kenal pasti negara ahli yang berminat untuk membangunkan sukuk dan pasaran modal Islam," katanya.

Mengulas strategi perancangan lima tahun ARBM, Azrulnizam berkata, ia akan memberikan tumpuan kepada peningkatan kedudukan keuntungan dan kerugian dan dalam masa yang sama menguatkan pengurusan.

“Dalam pelaburan bank, Al Rajhi akan memberi tumpuan kepada strategi pasaran modal Islam dan penambahan rakan kongsi dalam sukuk yang menepati piawaian syariah Arab Saudi dan Malaysia ke arah sukuk terbesar di dunia dengan gabungan 73 peratus pegangan saham dalam pasaran sukuk dunia," katanya.

Monday, October 21, 2013

Malaysia selamat - Zeti


Zeti Akhtar Aziz (kiri) merasmikan Jurnal Kestabilan Kewangan SEACEN bersama Pengarah Eksekutif The SEACEN Centre, Hookyu Rhu pada Persidangan Ulang Tahun ke-30 SEACEN yang diadakan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Malaysia tidak mengalami masalah gelembung aset kerana negara sudah menangani isu itu bagi mengelakkan ia dari berlaku.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, bagi mengelakkan perkara itu, tiga siri langkah perlindungan makro sudah diperkenal tahun ini.
"Langkah ini dibuat bagi mengelak pembentukan gelembung itu," katanya ketika sidang media selepas Persidangan Ulang Tahun ke-30 Bank-bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) bagi Penyepaduan dan Kestabilan Kewangan.
Beliau berkata demikian mengulas soalan sama ada Malaysia akan mengalami gelembung aset sekiranya ekonomi China merundum, selain kenaikan kadar faedah global.
Pada majlis itu juga, Zeti telah melancarkan Jurnal Kestabilan Kewangan SEACEN.
Jelasnya, situasi pada masa ini berbanding pada 1997 dan 1998 adalah berbeza.
"Malaysia kini dalam kedudukan untuk pertumbuhan yang berkembang, manakala kedudukan kewangan kekal berdaya tahan dan bekalan kredit tidak terganggu.
"Permintaan domestik kini memacu pertumbuhan ekonomi dan Malaysia tidak termasuk dalam krisis kewangan global semasa," ujarnya.
Zeti berkata, keyakinan terhadap sistem kewangan di negara ini semakin kukuh.
"Ia meningkat berikutan tumpuan ke atas reformasi kewangan pada dekad ini yang mengukuhkan asas sistem kewangan negara," katanya.

Monday, October 14, 2013

Sasar 28 juta pelancong

  • Sasar 28 juta pelancong
1 / 1
SERAMAI 28 juta pelancong asing disasarkan melawat negara ini tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 yang akan disertakan lebih 200 acara menarik.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam satu kenyataan berkata, Tahun Melawat Malaysia 2014 dijangka menjadi acara pelancongan terbesar dan paling gemilang pernah diadakan di negara ini.

“Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia adalah satu rumah terbuka besar yang menyasarkan menarik 28 juta pelancong luar sebagai tetamu.

“Banyak acara pelancongan baru akan diadakan contohnya Pelancaran Besar-besaran Tahun Melawat Malaysia 2014, Karnival Jualan Mega 1Malaysia , Warna-warna Malaysia, Perarakan Bunga Waktu Malam Antarabangsa, Festival Muzik Rainforest Borneo dan banyak lagi,” menurut kenyataan itu.

Sunday, October 13, 2013

Kelebihan Puasa Hari Arafah

Kelebihan Puasa Hari Arafah

Posted by epondok di Oktober 13, 2013
Kita juga jangan lepaskan peluang untuk merebut kelebihan puasa pada hari Arafah iaitu hari kesembilan daripada bulan Zulhijjah yang bakal tiba esok
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : …. صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  - رواه مسلم
Maksudnya : …… Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya 
Dikirim dalam Amalan Pilihan |

Thursday, October 10, 2013

TISB sasar untung melonjak


Ahmad Said bersama wakil-wakil agensi kerajaan negeri pada majlis Pengagihan Dividen Kepada Agensi-agensi Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. 
KUALA TERENGGANU 9 Okt. - Terengganu Incorated Sdn. Bhd. (TISB) menyasarkan unjuran keuntungan syarikat bagi tahun kewangan 2013 akan melonjak kepada sekitar RM41.14 juta dengan prestasinya yang terus memberangsangkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sektor perladangan kelapa sawit akan terus menjadi penyumbang utama pendapatan keseluruhan syarikat, diikuti sektor minyak dan gas, di samping lain-lain sektor.
Beliau yang juga Pengerusi TISB menarik perhatian mengenai prestasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 dengan keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM25.65 juta yang mengatasi pencapaian tahun sebelumnya iaitu RM23.78 juta.
''Peningkatan sebanyak RM1.87 juta berbanding keuntungan yang diperoleh pada tahun 2011 mencatatkan rekod dengan jumlah tertinggi sejak penubuhan TISB syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri itu ditubuhkan pada tahun 2006.
''Keuntungan terkumpul TISB juga adalah membanggakan dengan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun 2011 iaitu RM25.65 juta kepada RM68.50 juta. Kejayaan ini hasil strategi portfolio pelaburan, perbelanjaan berhemah dan usaha berterusan pengurusan," ujarnya.
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penyerahan Dividen Kepada Agensi-Agensi Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Menteri Besar turut memperkenalkan pengarah-pengarah TISB yang telah dilantik pada 1 Ogos lalu iaitu Left. Jen. (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar dan Datuk Wan Ja'afar Wan Mahamud.
TISB mengagihkan RM20.178 juta kepada pemegang sahamnya terdiri daripada agensi-agensi kerajaan negeri sebagai dividen keuntungan syarikat yang diperoleh bagi tahun kewangan berakhir 2012.
Penerima dividen tertinggi ialah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjumlah RM11.745 juta, diikuti Menteri Besar Diperbadankan Terengganu sebanyak RM4.570 juta.
Penerima dividen lain terdiri daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sebanyak RM1.585 juta, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu (RM1.248 juta, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Terengganu (RM1.022 juta) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (RM4.262 juta)
Menurut beliau, pembayaran dividen ini adalah berdasarkan daripada keuntungan bersih selepas cukai tahun lalu dan pengagihan dividen adalah mengikut bilangan unit saham biasa dan saham keutamaan boleh tebus bukan kumulatif yang dimiliki oleh agensi kerajaan terbabit.
"Agensi-agensi yang berkaitan akan menyalurkan dividen tersebut kepada rakyat khususnya melalui pelaksanaan projek-projek atau program yang dikenal pasti mengikut peranan dan fungsi agensi," ujarnya.
Beliau juga memberitahu, TISB kini dalam peringkat akhir penyediaan Pelan Strategik Syarikat 2014-2018 bagi terus menumpukan perhatian kepada agenda yang komprehensif untuk membantu mencorak masa hadapan yang mampan bagi negeri dan rakyat.

Saturday, October 5, 2013

Manipulasi Bisnes MLM & Skim Cepat Kaya

October 04, 2013 — Penulis:

Kategori: Konvensional / Perniagaan
Multi Level Marketing (MLM) atau Pemasaran Berbilang Tingkat merupakan satu strategi pemasaran di mana pasukan jualan atau ejen dibayar komisyen atau bonus berdasarkan jualan mereka sendiri dan juga jualan ejen lain yang direkrut. Pasukan jualan yang direkrut ini biasanya dipanggil sebagai ‘downline’.  Antara terma-terma lain yang digunakan untuk MLM ialah ‘network marketing’ dan ‘referral marketing’.
Kami sendiri tidak menjalankan bisnes berkonsepkan MLM dan tiada cita-cita mahu mengasaskan syarikat MLM. Kami menghormati sebahagian pembaca blog Majalah Niaga yang terlibat dalam industri ini.
Hasil bergaul dengan beberapa ketua di dalam syarikat MLM, kami boleh membuat kesimpulan ada 2 jenis manipulasi di dalam bisnes ini. Maklumat ini berguna supaya para pembaca dapat mengelak dari masuk perangkap.
#1. Manipulasi pengasas syarikat MLM.
Syarikat MLM seperti ini menjadikan produk sebagai wayang sahaja. Harga produk diletak tinggi melampau, tidak sesuai dengan kos dan kelebihan produk tersebut. Contoh, harga sekotak kopi berkhasiat biasa-biasa diletak harga RM 150.
Syarikat seperti ini sebenarnya fokus kepada jual beli orang (head hunting), bukannya jual beli produk. Produk digunakan untuk mengaburi mata bakal pelanggan. Modus operandi sebenar disebalik tabir ialah ‘money game’.


Selain itu, ada segelintir syarikat MLM yang terang-terangan melakukan aktiviti ‘money game’. Bagaimanakah ia dijalankan? Syarikat jenis ini lazimnya menyediakan 2 bentuk pelan pemasaran. Sebagai contoh, satu pelan A dan satu lagi pelan B. Pelan A fokus kepada merekrut ejen-ejen baru di bawah dan dibayar komisyen atas setiap rekrut. Pelan A ini adalah pelan pemasaran biasa yang diamalkan di dalam semua syarikat MLM.
Di sebalik pelan A, syarikat ini juga mengaktifkan pelan B di mana ditawarkan pelaburan berkonsepkan ‘goyang kaki dapat duit’. Peserta yang menyertai pelan B ini ditawarkan pulangan tertentu setiap bulan bergantung kepada jumlah pelaburan yang dibuat. Biasanya dalam lingkungan 5% hingga 20% setiap bulan.
Fokus utama syarikat ini sebenarnya untuk mengaut keuntungan daripada ‘money game’ pelan B. Tiada cara lain yang diguna pakai oleh mereka melainkan duit pelaburan orang baru digunakan untuk membayar pulangan pelaburan orang lama. Cara yang biasa diamalkan oleh penganjur skim cepat kaya yang lain. Pelan A itu pula sengaja dibuat-dibuat untuk mengaburi mata pihak berkuasa untuk mendapatkan lesen MLM.
#2. Manipulasi leader MLM.
Walaupun ada syarikat MLM yang meletak harga sesuai dengan produk dan menjadikan kekuatan produk sebagai alat utama mereka untuk berkembang, tetapi terdapat segelintir leader yang ‘kreatif’ telah memanipulasi pelan pemasaran dengan cara mempengaruhi bakal ahli membeli secara pukal.
Pembelian pukal ini memudahkan mereka naik pangkat dan bonus bulan pertama mereka akan banyak. Keratan atau slip bonus itulah yang dijaja untuk mempengaruhi bakal ahli lain. Ada pembelian pukal berjumlah sehingga RM 30,000. Ada juga serendah RM 5000. Lazimnya, mereka mempengaruhi bakal-bakal ahli membuat pinjaman peribadi untuk melakukan pembelian ini.
Hakikatnya, majoriti ahli yang membuat pembelian pukal tersebut banyak bonusnya di bulan pertama sahaja. Bulan kedua dan seterusnya merosot atau tiada langsung. Bonus kelihatan banyak di atas cek sahaja, selepas ditolak kos pembelian pukal, sebenarnya tidak balik modal.
Maka lahir ramai leader-leader MLM ‘berkereta mewah tetapi tayarnya botak.’
Penting untuk kami tekankan di sini bahawa tidak semua syarikat atau leader MLM seperti di atas. Ada syarikat MLM yang bagus dan patuh syariah. Maklumat di atas boleh dijadikan panduan untuk elak duit hangus dibakar oleh syarikat dan leader MLM bertopeng!

Skim Cepat Kaya – Kembali Berleluasa

Skim cepat kaya merupakan satu skim di mana sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur skim cepat kaya dangan janji dan syarat bahawa wang deposit tersebut akan dipulangkan kembali dengan faedah atau keuntungan. Faedah dan keuntungan yang ditawarkan biasanya lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan berlesen.


1980 – 1990
Daripada tahun 1980-an sehingga 1990-an generasi lama menyaksikan kejatuhan skim-skim cepat kaya seperti Pak Man Telo, Labu Peram, Platinum Lane, Skim 350 dan banyak lagi. Ketika ini, perbankan Internet masih tidak wujud. Majoriti pelaburan dibuat melalui serahan tangan dan melalui mesin deposit tunai. Pulangan pelaburan pula ada yang dihantar menggunakan kenderaan ke rumah-rumah pelabur. Selepas kes serbuan dan penutupan skim ini, ia terus senyap sepi.
2006 – 2007
Pada tahun 2006, fenomena skim cepat kaya kembali gempar dengan kemunculan berpuluh-puluh syarikat pelaburan Internet seperti Swiss Cash, EA Index, DanaFutures, E-Barrel, Arabic Fund dan banyak lagi.
Pada tahun 2007, skim-skim pelaburan Internet ini mula ditutup dan pusat operasi mereka diserbu oleh pihak berkuasa.
Majoriti penganjur-penganjur dan individu di sebalik tabir skim ini masih bebas kerana tiada bukti kukuh untuk mendakwa mereka.
2008 – 2010
Penganjur sama yang terlibat di dalam pelaburan Internet pada tahun 2006 kembali dengan cara lebih kreatif. Kali ini, mereka mengaktifkan semula skim ini dengan cara mendaftar sebagai koperasi.
Mereka menyalahgunakan lesen koperasi untuk kutip duit melabur dan dijanjikan pulangan lumayan sama ada melalui ‘introducer bonus’ atau melalui pelaburan dibuat. Mereka meyakinkan pelabur dengan mengatakan pelaburan yang dibuat itu dilaburkan di dalam sektor pertanian, penternakan dan hartanah.
Mereka mendakwa koperasi mereka memiliki tanah-tanah seluas berhektar-berhektar untuk digunakan atas tujuan-tujuan di atas. Semakin tinggi pelaburan, semakin tinggi pulangan setiap bulanan diterima. Pembayaran keuntungan itu dibuat tanpa dijelaskan terperinci mengenai prestasi perniagaan. Akaun-akaun perniagaan mereka juga tidak diaudit.
Majoriti koperasi yang mengamalkan skim pelaburan cepat kaya ini telah ditutup. Sebahagian sahaja diserbu dan dibekukan akaun oleh Bank Negara. Baki yang lain sengaja ditutup atas tujuan untuk melesapkan duit peserta. Penutupan itu telah dirancang lebih awal.
2011 – 2013
Tamat kisah skim cepat kaya koperasi , kini timbul pula skim berasaskan Forex dan Emas.
Kami tidak mahu mengulas panjang mengenai skim pelaburan emas berikutan kes serbuan ke atas syarikat Genneva pada tahun lepas dan tempoh hari 5 individu berkait rapat dengan syarikat ini akan dihadapkan ke Mahmakan Seksyen atas tuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM 937 juta.


Hati-hati dengan mana-mana syarikat pelaburan emas yang menawarkan pulangan setiap bulan atas pembelian emas. Ia satu operasi bisnes yang tidak logik. Cara betul ialah dengan membeli emas sama ada jongkong, dinar atau barang kemas di kedai-kedai emas atau melalui institusi kewangan berlesen. Keuntungan diperolehi melalui jualan semula emas tersebut dengan harga lebih tinggi.
Berkenaan dengan Forex pula, kami tidak mahu mengulas mengenai urusniaga mata wang asing melalui Internet yang dibuat secara individu. Walaupun telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, namun status hukumnya masih diperdebatkan di kalangan pedagang-pedagang Forex.
Kami hanya mahu mengulas mengenai segelintir syarikat yang menjadikan Forex sebagai wayang. Syarikat-syarikat ini membina platform graf yang dipanggil Metatrader4. Mereka membenarkan klien membuka akaun Forex sama ada akaun Demo atau Real. Syarikat ini kelihatan seperti memenuhi kriteria dan ciri-ciri asas broker Forex yang sah.
Namun, itu semua dibuat untuk mengaburi mata. Di belakang tabir, syarikat ini menawarkan pulangan bulanan di atas pelaburan yang dibuat. Laman web broker ini juga tidak menunjukkan dengan jelas siapa pengasas, board of directors, dan staf-staf yang terlibat. Ayat-ayat di laman web mereka adalah skrip sama yang dipakai oleh laman-laman web syarikat skim cepat kaya yang lain.
Mereka juga menyatakan kononnya mereka didaftarkan secara sah di negara-negara seperti Cyprus, Panama, Virginia Island, South Africa dan di lokasi-lokasi luar pesisiran pantai.
Modus operandi di belakang tabir ialah, apabila klien mendepositkan jumlah tertentu untuk membuka akaun Forex, duit dagangan mereka itu akan dipaparkan di skrin ‘trading station’. Untuk menarik minat klien atau pelabur, biasanya mereka akan ditawarkan bonus berupa modal tambahan di dalam akaun mereka. Contohnya, klien mendeposit 1000 usd, mereka akan diberi modal tambahan sebanyak 1000 usd, menjadikan jumlah modal untuk didagangkan di pasaran Forex berjumlah 2000 usd.
Dari manakah duit itu datang? Duit yang dipaparkan itu sebenarnya hanya wujud ‘on screen’ sahaja. Modal tambahan itu sebenarnya tidak wujud dan biasanya diberikan syarat-syarat tertentu supaya pelabur sukar untuk melakukan pengeluaran.


Di belakang tabir, deposit asal itu dipusing untuk membayar pelabur lama dan membayar komisyen kepada pihak yang menjadi ‘introducer’. Dagangan Forex mereka seolah-olah dilakonkan di skrin sahaja. Ia sebenarnya tidak wujud, yang wujud hanyalah ‘money game’ semata-mata.
2014??
Kami tidak tahu apakah lagi idea-idea penganjur skim cepat kaya ini. Mereka terdiri daripada orang yang sama. Apabila sudah melesapkan duit pelaburan berjuta-juta ringgit, mereka akan rehat dahulu berbulan-bulan sebelum kembali dengan skim terbaru.
Mereka sungguh licik. Mereka akan terus menjadikan sesuatu produk, saham, emas, perak atau forex sebagai wayang untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan bakal pelabur supaya modus operandi sebenar di belakang tabir sukar dikesan.
Tidak mustahil pada tahun 2014, skim cepat kaya ini akan berlindung pula di sebalik nama kelab kebajikan. Itu jangkaan kami berdasarkan penubuhan beberapa kelab kebajikan yang mempunyai pelan pelaburan dengan pulangan tetap setiap bulan.
Akhir sekali, pegang pada kata-kata ini untuk menyelamatkan duit kita daripada hangus ditelan skim-skim anjuran syaitan bertopeng manusia…
 Sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal, berkemungkinan besar merupakan satu penipuan

Tuesday, October 1, 2013

RM1.5 bilion bangunkan GDV D'Pristine@Medini


Mohamed Khaled Nordin melihat model bangunan perniagaan dan kediaman D'Pristine @ Medini yang akan dibina di Nusajaya sempena majlis Pecah Tanah Projek D'Pristine @ Medini di Nusajaya, Johor Bahru, semalam.
NUSAJAYA 30 Sept. - Satu lagi projek pembangunan bercampur yang menawarkan gaya hidup moden, bermutu dan berprestij dikenali sebagai D'Pristine @ Medini akan dibangunkan di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.
Projek yang dibina di atas tanah seluas 3.28 hektar dengan keluasan pembangunan kasar lebih dua juta kaki persegi itu dibangunkan Syarikat D'Pristine Medini Sdn. Bhd. (D'Pristine Medini) di kawasan Iskandar Malaysia.
Pengarah projek, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, projek tersebut bakal dibangunkan dalam tiga fasa di atas tiga bidang tanah terletak di kawasan bandar Medini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2016.
"Pembangunan tersebut merangkumi tiga tingkat pusat beli-belah, dua menara SOFO (projek pejabat kecil pejabat fleksibel), menara pejabat korporat, hotel bertaraf empat bintang dan lima tingkat tempat letak kereta.
"Kawasan ini dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta menjadi tumpuan pelabur," katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek D'Pristine @ Medini yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Pengasas MCT, Tan Sri Barry Goh.
Mohd. Arifin berkata, setiap komponen tersebut dibina dengan menyasarkan segmen pelanggan yang berbeza kerana menawarkan fungsi berlainan melalui reka bentuk senibina moden dan menarik bersesuaian pada masa kini.
D'Pristine Medini merupakan sebuah syarikat pemaju yang dimiliki penuh oleh B&G Capital Resources Bhd. (B&G Capital) yang terkenal dengan jenama MCT yang berjaya menyiapkan projek pembangunan bernilai RM2 bilion di negara ini.
Kumpulan syarikat itu juga sedang mengusahakan 10 projek pembangunan bernilai RM3 bilion dan mempunyai simpanan tanah seluas 360 hektar di beberapa tempat yang mampu menghasilkan nilai pulangan sebanyak RM15.3 bilion.

Gilap jiwa usahawan dalam diri

Oleh Dr Azizan Osman
Memperkasa ekonomi diri dulu sebelum anda ingin memperkasa ekonomi dunia.
Kebelakangan ini kita sering mendengar keluhan rakyat terutama Bumiputera akibat kenaikan harga bahan api kenderaan. Sedikit demi sedikit harga barang mula meningkat dan ia memberi kesan besar kepada perbelanjaan harian. Ramai mula berbalah dan menuding jari kepada kerajaan kerana tidak mengambil kira sensitiviti rakyat. Yang menariknya, kebanyakan yang menuding jari akibat dari kenaikan ini ialah kaum Bumiputera sendiri.

Tahukah anda secara amnya ekonomi dunia ini direka untuk sentiasa meningkat. Ini bermakna kos saraan hidup akan terus naik dari tahun ke tahun tanpa henti. Adakah anda masih ingat berapa sen yang anda bawa ke sekolah ketika anda kecil? Saya masih ingat lagi hanya membawa duit poket 50 sen ketika bersekolah rendah. Anda boleh teka berapa umur saya pada zaman itu? Ketika itu saya bersekolah rendah pada tahun 1980-an. Adakah hari ini mencukupi sekiranya kita memberikan duit poket hanya 50 sen? Pastinya tidak. Kenapa? Kerana ada satu perkara mengenai sistem ekonomi dunia yang anda perlu faham iaitu masalah inflasi. Sama ada suka atau tidak, duit sentiasa susut nilai dan harga barang 10 tahun dulu seperti harga rumah, barang dapur dan banyak lagi pastinya tidak sama. Jadi usahlah kita membuang masa menuding jari apabila kenaikan ini terjadi. Dari anda pening memikirkan masalah ekonomi dunia atau cuba menjadi ‘Superman’ mahu merubah ekonomi dunia, lebih baik fikirkan bagaimana hendak mengukuhkan lagi ekonomi diri sendiri dan keluarga.

Mungkin anda boleh mulakan dengan mengurangkan perbelanjaan yang tak sepatutnya. Mula perhatikan aliran wang keluar masuk anda dan isi rumah. Cuba mencari jalan menambahkan lagi simpanan dan paling penting, tingkatkan pendapatan bagi menampung kenaikan kos sara hidup yang luar biasa ini. Antara cara meningkatkan pendapatan melalui bekerja makan gaji ataupun berniaga sendiri.

Ramai menganggap dengan kelulusan tinggi saja boleh menjamin mendapat pekerjaan bagus serta gaji lumayan. Mungkin fahaman ini dipupuk sejak kecil hingga menjadi satu bentuk budaya atau tradisi yang patut diikuti kita sehingga ke hari ini. Tak salah mempunyai pendidikan bagus serta gred cemerlang, persoalannya kenapa perlu bekerja untuk orang lain sekiranya anda boleh berniaga sendiri.

Masalahnya kebanyakan bangsa kita menjadikan perniagaan itu satu pilihan terakhir di dalam memilih kerjaya sedangkan jika anda melihat kaum Cina, berniaga satu keutamaan di dalam masyarakat mereka. Mereka seolah-olah percaya bangsa mereka wajib berniaga berbanding bangsa kita yang rata-rata ditekankan mengenai pentingnya makan gaji terutama bekerja dengan kerajaan. Ia seolah-olah pilihan selamat untuk mendapat pencen satu hari nanti.

Kaum Bumiputera, bangkitlah dari keselesaan anda sekarang! Sedarlah kehidupan anda hari ini dalam keadaan membimbangkan. Pendapatan melalui makan gaji tidak dapat menampung dari getaran kewangan ekonomi dunia. Tetapi jika anda berniaga dan menjadi usahawan bermatlamat, anda pasti mampu tersenyum melihat gelagat ekonomi sedia ada dan juga yang bakal menjelma. Jika anda dapat menguasai ekonomi diri sendiri anda dapat tentukan apa anda inginkan dan ini salah satu kelebihan menjadi usahawan.

Bakat dan ilmu antara intipati untuk menjadi usahawan.

Kebiasaannya ramai beranggapan untuk menjadi usahawan berjaya memerlukan bakat semula jadi ataupun diwarisi dari keluarga. Realitinya, untuk menjadi usahawan anda tidak memerlukan bakat yang hebat, tetapi apa anda perlukan adalah ilmu mencukupi. Dari ilmu, bakat dan kemahiran dibina secara tidak langsung ke dalam diri usahawan secara berperingkat sehingga ia menjadi darah dagingnya sendiri. Ramai yang lahir menjadi usahawan berjaya terutama beberapa tahun kebelakangan ini dalam kalangan Bumiputera dengan sokongan kerajaan serta inisiatif banyak pihak termasuk saya di dalam membantu melatih membangunkan usahawan yang berjaya.

Jika anda perhatikan mereka yang menjadi usahawan berjaya, ramai tidak mempunyai latar belakang keluarga berniaga atau mempunyai kelulusan MBA di dalam pengurusan perniagaan, malah ramai mempunyai kelulusan bidang pengurusan perniagaan yang takut berniaga atau gagal di dalam perniagaan mereka. Adakah kita perlukan ‘genetik’ usahawan untuk menjadi usahawan? Pada tahun 2010, penulis buku ‘Born Entrepreneurs, Born Leaders’, Scott Shane, professor bidang kajian keusahawanan di Cleveland Case Western Reserve University menganjurkan masalah genetik tidak mempengaruhi sama ada seseorang itu akan memilih untuk bekerja atau berniaga, tetapi beliau tidak menafikan faktor sekeliling banyak mempengaruhi seseorang membuat keputusan untuk berniaga.

Usahawan datang dari semua lapisan masyarakat, semua kumpulan umur dan dari segala sudut. Mereka orang biasa seperti anda dan saya. Mereka tinggal dan bekerja di negara ini. Mereka menghadapi masalah sama yang kita hadapi setiap hari. Mereka mempunyai akses kepada sumber sama, seperti yang kita miliki.

Namun, apa membezakan usahawan dan orang biasa ialah ilmu dan pilihan berani bertindak membuat keputusan dalam mencapai sesuatu perkara.

Bagi mewujudkan lebih ramai usahawan di negara ini, kerajaan memperkasakan penyertaan Bumiputera ke dalam sektor perniagaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengumumkan lima teras meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara. Antara teras itu penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang tidak lama lagi akan dipengerusikan Perdana Menteri sendiri. Dengan kemudahan ini, ia memberi banyak peluang serta memudahkan usahawan Bumiputera memperluaskan lagi perniagaan mereka.

Mungkin anda tersenyum ghairah mendengar peluang yang bakal menjelma. Ini cara kerajaan memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam dunia keusahawanan di Malaysia. Dengan ini, usahawan Bumiputera tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada perlindungan kerajaan. Tetapi percayalah, tanpa bantuan kerajaan sekalipun, kita sebenarnya mampu membina perniagaan kita sendiri berbekalkan formula membina perniagaan yang terbukti berjaya.

Sebenarnya peluang mendapat pendapatan lebih tinggi sememangnya menuntut untuk kita menjadi usahawan. Jika anda masih lagi bersandarkan kehidupan makan gaji, inilah masanya untuk anda mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawan. Tetapi ingat, jangan terjun dalam dunia keusahawanan jika masih belum mempunyai ilmu mencukupi mengenainya. Mulalah mencari ilmu melalui pembacaan buku, hadiri seminar keusahawanan dan pastikan mempunyai mentor yang betul untuk membantu anda mencapai arah yang ingin dituju dengan mudah dan pantas.


Penulis adalah usahawan, pakar pembangunan usahawan dan pemasaran