SHAH ALAM - Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB), cabang hartanah Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), yakin terhadap pertumbuhan positif tahun ini berikutan pembabitan syarikat itu dalam pembangunan tanah komersil utama di Petaling Jaya.
  
Pengerusinya Raja Idris Raja Kamaruddin berkata pelan pembangunan bersama tanah seluas 3.84 hektar di Seksyen 14, Petaling Jaya itu, sedang dimuktamadkan.
  
"Pembangunan pejabat kedai, pejabat rumah pejabat kecil (SOHO), menara pejabat dan pangsapuri perkhidmatan itu akan bermula pada akhir tahun dan menyumbang hampir RM1 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) dalam tempoh
tujuh tahun.

"Ia akan menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan syarikat secara berterusan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu.
  
Raja Idris juga berkata beberapa cadangan sudah diterima untuk pembangunan kawasan seluas 2,000 hektar di Bestari Jaya (Batu Berjuntai) di Selangor.
  
Beliau berkata projek semasa KHSB di Bandar Baru Salak Tinggi dan Hab Halal Selangor di Pulau Indah sudah menunjukkan hasil yang.
  
Pembinaan 99 unit kedai setingkat di Bandar Baru Salak Tinggi juga berjalan mengikut jadual, dan dijangkakan menyumbang GDV kira-kira RM25 juta.         
           
Raja Idris berkata kumpulan itu berusaha gigih untuk kekal kompetitif dengan berusaha untuk mengenal pasti cara meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kecekapan operasi.
  
"Strategi untuk meningkatkan prestasi menyeluruh kumpulan menerusi penilaian berhemat peluang-peluang meningkatkan nilai aset, akan membuahkan hasil dalam tempoh tiga tahun akan datang.
  
"Strategi yang dilaksanakan oleh kumpulan itu termasuk membangunkan nilai ekonomi aset-aset kami di Bestari Jaya, Pulau Indah dan Seksyen 14 di Petaling Jaya," katanya. - Bernama