Monday, June 25, 2012

Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara

Wartawan Sinar Harian
22 Jun 2012
Maybank tawar Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara di Melbourne
MAYBANK
SHAH ALAM - Maybank mengembangkan tawaran Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara bagi pembelian hartanah kediaman di Melbourne, Australia.

Skim ini akan membiayai hartanah kediaman siap bina di Melbourne, yang dibangunkan pemaju dari Malaysia dan Australia.

Kemudahan disediakan dalam bentuk pinjaman, overdraf atau gabungan kedua-duanya.

Dalam satu kenyataannya, Maybank berkata, ketika ini, rakyat Malaysia yang membeli hartanah di Australia mendapat kemudahan pembiayaan dalam dolar Australia.

“Menerusi kaedah ini mereka terdedah kepada ketidaktentuan naik mata wang asing ketika membuat pembayaran balik setiap bulan,” katanya.

“Di bawah Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara, pembiayaan diberikan dalam mata wang ringgit, dan menerusinya peminjam akan terlepas daripada risiko turun-naik tukaran asing,” katanya.

Selain itu, kelebihan skim ini termasuk kadar faedah pinjaman yang berdaya saing, margin pinjaman lebih tinggi iaitu sehingga 75 peratus, pembayaran semula yang lebih fleksibel dan tempoh pinjaman yang lebih panjang iaitu sehingga 30 tahun atau 70 tahun bergantung kepada usia peminjam.

"Maybank mula menawarkan Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara dalam mata wang Ringgit pada Januari tahun ini bagi membiayai pembelian hartanah kediaman di London,” katanya lagi.

Sehingga Mei lalu, nilai kemudahan yang diluluskan melebihi RM260 juta, kata Maybank.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Lim Hong Tat berkata, kemudahan pinjaman perumahan baru ini dijangka dapat menarik nilai pinjaman RM300 juta dalam tempoh 12 bulan.

"Perkembangan ini akan membantu kami mencapai sasaran pertumbuhan pembiayaan perumahan dengan purata dua angka tahun ini.

“Pembiayaan ini akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang berminat membeli hartanah di Australia memandangkan ketika ini negara itu menawarkan kelebihan menarik bagi pembelian hartanah untuk bukan warga negara," katanya.