Tuesday, June 12, 2012

Tanggungjawab Komuniti Strata (Flat, Apartment, Kondominium

Tanggungjawab Komuniti Strata (Flat, Apartment, Kondominium)


Posted by Tips Hartanah on Jun 11, 2012 in Komuniti, Tips Hartanah, 


Perubahan gaya hidup, permintaan hartanah yang meningkat, tanah yang semakin berkurangan telah menyebabkan trend pembinaan hartanah di Bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sekitar Lembah Klang telah mula berubah. Jika dahulunya rata-rata pembeli akan memilih ‘landed property’ (hartanah bertanah) sebagai pilihan utama pembelian mereka namun kini pilihan utama mereka belum tentu dapat dipenuhi kerana harga hartanah yang semakin meningkat. Dengan harga purata hartanah seperti rumah teres bersaiz typical 20’x70’ di Lembah Klang sekitar RM400,000 dan ke atas, permintaan pembeli telah mula berubah kepada hartanah strata iaitu hartanah bertingkat seperti flat, apartment, kondominium dan ‘townhouse’.

Pada ketika semakin ramai yang memilih hartanah strata, suatu isu yang perlu diambil perhatian adalah kesedaran serta tanggungjawab pemilik dan penduduk hartanah strata terhadap komuniti hartanah itu sendiri. Ini adalah sangat penting kerana hartanah strata melibatkan pengurusan ‘kawasan bersama’ yang mana diuruskan secara bersama oleh penduduk dengan menanggung kos-kos terlibat secara bersama. Di sinilah di mana kegagalan dalam pengurusan akan menyebabkan pelbagai masalah yang semakin sinonim dengan hartanah strata pada masa ini seperti lif rosak, kawasan tidak dijaga, kolam renang kotor dan pelbagai masalah lain.

Oleh itu adalah penting untuk penduduk dan bakal penduduk hartanah strata faham akan kesedaran mereka terhadap tanggungjawab membuat pembayaran yuran pengurusan secara rutin setiap bulan bagi membolehkan tabung pengurusan bersama mempunyai kewangan yang cukup untuk menjalankan kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan hartanah strata berkenaan.

Bagi memudahkan pengurusan sesebuah hartanah strata, di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan & Pengurusan Bangunan) 2007 (Akta 663) yang berkuatkuasa pada 12 April 2007 telah mewajibkan semua pemaju untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) di semua bangunan bertingkat yang tertakluk di bawah Akta Hakmilik Strata dalam masa 12 bulan dari tarikh serahan kunci – yang mana ini adalah untuk hartanah strata yang masih belum dikeluarkan hakmilik strata. Sedikit soaljawab mengenai JMB boleh anda baca di Mazlan.wordpress.com yang mungkin boleh member pemahaman yang lebih baik terhadap JMB. Satu dari persoalan menarik di sini adalah Bagaimana Ahli JMC dipilih? Menurut jawapan yang diberikan Perlantikan ahli JMC diadakan pada Mesyuarat Pertama secara undian tangan. Urusan mengadakan mesyuarat tersebut akan dikendalikan oleh Pemaju dengan memberi notis bertulis 14 hari kepada Pemilik Petak/Penduduk dari tarikh mesyuarat yang dijangka akan diadakan. Oleh itu adalah jelas di sini Ahli JMB adalah dilantik sendiri oleh penduduk dan juga atas dasar ‘volunteer’ untuk dilantik bagi menjalankan tanggungjawab menguruskan hartanah strata berkenaan.

Bagi hartanah yang telah dikeluarkan dokumen hakmilik strata, JMB akan digantikan dengan Perbadanan Pengurusan atau Management Corporation (MC) di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.

Agak menghairankan juga apabila setelah JMB/MC ditubuhkan terdapat sebahagian penduduk yang melantik Ahli JMB ini dengan lantang menentang apa sahaja yang dilakukan oleh JMB sedangkan JMB seharusnya di berikan kerjasama baik oleh penduduk yang melantik dan bukan sebaliknya. Perlakuan sedemikian sebenarnya tidak memberikan kesan positif kepada JMB dan seterusnya pengurusan terhadap bangunan itu sendiri kerana harus diingat jika tiada kerjasama yang baik dari penduduk dan ditambah lagi dengan kritikan negatif kebarangkalian besar tidak seorangpun penduduk yang mahu dilantik sebagai Ahli JMB yang mana kini banyak terjadi kepada apartment dan flat. Apabila ini berlaku kesannya amat teruk di mana pungutan yuran pengurusan akan terjejas dan seterusnya pengurusan bangunan secara keseluruhannya juga akan terjejas. Jika ini berlaku maka berlakulah perkara seperti lif tidak dibaiki, kolam renang berkulat, sampah tidak dikutip, koridor tidak dibersihkan, pengawal tidak ditugaskan dan banyak lagi. Akibat daripada perkara sebegini juga berlakulah tunggakan yuran pengurusan yang tinggi di mana pernah dilaporkan sebuah flat mempunyai tunggakan melebihi RM1 juta sehingga lif yang rosak tidak dibaiki.

Dengan itu saya mengambil peluang ini untuk sama-sama memberikan peringatan kepada mereka yang tinggal di komuniti strata sama ada flat, apartment, konodminium atau lain-lain untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai penduduk seperti berikut:-

Membuat pembayaran yuran pengurusan setiap bulan seperti yang ditetapkan.

Mematuhi ‘House Rule’ yang telah ditetapkan.

Menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) komuniti.

Memberikan kerjasama kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Menyertai atau melakukan apa sahaja aktiviti yang memberikan kesan positif kepada komuniti tersebut.

Dengan menjalankan tanggungjawab anda sebagai penduduk dan pemilik hartanah strata anda, anda bukan sahaja akan dapat membantu dalam menguruskan bangunan kediaman menjadi kawasan yang bersih dan baik untuk didiami malah ianya secara tidak langsung dan untuk jangka masa panjang akan memberikan nilai hartanah yang lebih tinggi berbanding hartanah strata yang tidak diuruskan dengan baik.

Bagi mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan hartanah seperti pengurus bangunan, Tips Hartanah amat mengalu-alukan sebarang komen tambahan daripada anda untuk menambah baik lagi artikel ini supaya ianya dapat memberikan manfaat kepada mereka semua komuniti hartanah strata sama ada pengurusan, JMB, MC atau penduduk sendiri.