http://www.drumah.com/
“Susah la nak buat sewa rumah ni.. penyewa selalu lambat bayar and rosakkan rumah aku…last2 aku pulak yang rugi…”
“Pelik aku.. macam mana die boleh apply loan sampai ada 5 rumah, tapi gaji die baru rm3000”
“Eh.. kipas bilik aku rosak ni..sapa kene bayar untuk repair.. kita ke atau tuan rumah?”
Percaya atau tidak, persoalan seperti
ini sebenarnya agak normal dalam kehidupan seharian kita terutamanya
apabila kita menjadi penyewa atau tuan rumah terbabit. Senario yang
berlaku mungkin akan menjadi lebih teruk lagi jika kedua-dua pihak
iaitu penyewa dan tuan rumah tidak sedar tentang hak masing-masing.
Tetapi, hak dan nasib kedua-dua pihak akan terbela dan lebih terjamin
jika Perjanjian Penyewaan Rumah (Tenancy Agreement) berjaya disediakan,
dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak.
Apakah itu Perjanjian Penyewaan Rumah?
Perjanjian ini merupakan satu dokumen yang menggariskan hak-hak dan
tanggungjawab penyewa serta tuan rumah. Biasanya, perjanjian ini
ditandangani sebelum penyewa menduduki rumah tersebut. Jangka masa
untuk perjanjian ini ialah bergantung kepada persetujuan kedua-dua
pihak; iaitu sama ada setahun, 2 tahun ataupun 5 tahun.
Apa yang anda perlu tahu tentang Perjanjian Penyewaan Rumah:
• Perjanjian ini perlulah senang
difahami oleh kedua-dua pihak. Walaubagaimanapun, pihak penyewa dan
tuan rumah perlu memahami isi kandungan perjanjian ini dengan
terperinci supaya hak masing-masing dapat ditegakkan jika berlaku
perselisihan faham (dispute). Kadang-kadang, perjanjian ini disediakan
oleh pihak ketiga iaitu peguam atau agen hartanah namun persetujuan
haruslah dicapai oleh bakal penyewa dan tuan rumah sebelum
ditandatangani. Tuan rumah juga boleh menyediakan sendiri perjanjian
ini berdasarkan sampel dokumen yang disediakan di bawah.
• Perjanjian ini perlu menyatakan
sewa bulanan yang perlu dibayar oleh penyewa. Bayaran untuk sewa
bulanan akan ditetapkan pada tarikh tertentu (contohnya 1hb bagi setiap
bulan) untuk memudahkan tuan rumah memantau kelewatan pembayaran. Akaun
untuk pembayaran juga dinyatakan dalam Perjanjian Penyewaan untuk
rujukan dan memudahkan kedua-dua pihak..
• Selain itu, deposit untuk menyewa
rumah juga (biasanya, bayaran sewa untuk 2 bulan dan utiliti) akan
dinyatakan untuk menjaga hak tuan rumah sekiranya penyewa‘melarikan
diri’ atau merosakkan harta benda di dalam rumah terbabit. Wang deposit
ini akan dipulangkan kembali kepada penyewa apabila tempoh penyewaan
sudah berakhir dan rumah ini ditinggalkan dalam keadaan baik dan
terjaga.
• Senarai inventori barang-barang
yang disediakan di dalam rumah terbabit seperti kipas, lampu, sofa,
peti ais, katil dan televisyen akan turut dilampirkan bersama-sama
dengan Perjanjian Penyewaan sebagai senarai semak untuk kedua-dua
pihak. Jika berlaku kerosakan kepada barang-barang terbabit (dalam kes
ini, penyewa yang merosakkan secara sengaja), tuan rumah berhak meminta
ganti rugi. Walaubagaimanapun, terpulang kepada budi bicara tuan rumah
kerana mungkin barang-barang itu sudah lama digunakan dan kerosakan
tidak dapat dielakkan.
• Pembaikpulihan bagi kerosakan di
dalam rumah perlu dinyatakan dengan jelas dalam Perjanjian Penyewaan.
Biasanya, kerosakan kecil (minor damage) akan dibayar terlebih dahulu
oleh penyewa kemudian diberitahu kepada tuan rumah untuk pengurangan
bayaran sewa pada bulan itu. Bagi kerosakan besar (major damage), tuan
rumah perlu mengambil tindakan sewajarnya seperti meminta kontraktor
untuk membaik pulih kerosakan terbabit secepat mungkin. Contoh
kerosakan kecil ialah pili air tersumbat dan kerosakan besar mungkin
atap bocor atau lantai pecah.
• Akhir sekali, selepas perjanjian
ini dipersetujui dan ditandatangani kedua-dua pihak, ‘stamping’ perlu
dibuat di Jabatan Hasil supaya dokumen ini dikira sah disisi
undang-undang. Jika tidak, sebarang masalah yang berlaku tidak dapat
diselesaikan di mahkamah dan seterusnya boleh mengakibatkan
ketidakadilan kepada penyewa ataupun tuan rumah.. Bayaran untuk
“stamping’ biasanya dikenakan kepada penyewa. Bagi tuan rumah, dokumen
ini boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan (extra income) jika
ingin memohon pinjaman daripada bank.
Oleh yang demikian, penyewa dan tuan
rumah perlu menyedari hak masing-masing dan hak ini perlu dinyatakan
dengan jelas dalam perjanjian ini. Ketiadaan dokumen ini mungkin akan
menjadi kesilapan besar kepada penyewa dan juga tuan rumah terbabit
jika berlakunya sesuatu masalah.
Bagi pelabur hartanah pula, dokumen ini
perlu dipandang serius kerana dokumen ini seolah-olah memberi jaminan
pada hartanah yang disewakan tersebut.