KUALA LUMPUR - Usahawan yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman akibat disenarai hitam dalam CCRIS atau Central Credit Reference Information System, boleh merujuk kepada SME Corp untuk bantuan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata usahawan yang telah menjelaskan pinjaman namun masih disenarai hitam oleh CCRIS serta CTOS Credit Tip-Off Service, juga boleh merujuk kepada SME Corp.

"Kami membuka peluang kedua untuk usahawan, dan SME Corp akan mencari jalan untuk membantu dan mendapatkan nasihat," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Sesi Rangkaian dan Peluang Perniagaan Usahawan PKS dalam Program Kerjasama antara Miti, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai saranan Kementerian Kewangan supaya Bank Negara mencari jalan untuk mewujudkan sistem yang lebih baik untuk CCRIS dan CTOS, supaya dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memperoleh pinjaman.

Sesi rangkaian dan peluang perniagaan usahawan (PKS) itu dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Keusahawanan Miti dengan kerjasama MATRADE dan PUNB.

Bahagian Pembangunan Keusahawanan Miti memainkan peranan dalam membangunkan usahawan melalui pelbagai program, termasuk dalam aspek latihan keusahawanan, peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan serta promosi dan pemasaran.

Melalui program peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan yang dilaksanakan dengan kerjasama SIRIM Berhad, program ini berjaya membangunkan 1,379 syarikat Bumiputera yang mengeluarkan lebih 2,900 produk.

Mereka terdiri daripada usahawan dalam lima sektor iaitu makanan dan minuman, kosmetik dan herba, seramik, kaca serta perabot manakala Matrade pula berfungsi sebagai agensi yang membantu usahawan dalam meneroka pasaran luar negara melalui beberapa program seperti pembangunan pengeksport Bumiputera dan program pembangunan pengeksport wanita.

Program-program itu bertujuan membimbing usahawan PKS supaya lebih berkeupayaan, berkeyakinan serta meningkatkan tahap profesionalisma bagi menghadapi cabaran dalam pasaran antarabangsa.

Syarikat yang terpilih akan dibimbing serta didedahkan dengan aktiviti-aktiviti promosi perdagangan antarabangsa, seminar dan latihan serta diberikan seorang pegawai pembimbing yang berpengalaman untuk tempoh sepanjang berada dalam program.

Seramai 200 usahawan PKS yang mewakili 120 syarikat mendapat manfaat menerusi program ini.- Bernama