Saturday, January 5, 2013

Dokumentasi pembiayaan rumah kini lebih mudah

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Dokumentasi pembiayaan perumahan individu oleh bank-bank tempatan telah diselaraskan berkuat kuasa 1 Januari 2013 bertujuan memudahkan pelanggan memahami terma dan syarat pembiayaan.
Penyelarasan berkenaan telah mengurangkan jumlah helaian dokumentasi daripada 20 hingga 30 muka surat kepada 15 muka surat sahaja dengan penyampaian yang lebih mudah difahami.
Dokumentasi baharu berkenaan turut disediakan dalam Bahasa Melayu atas permintaan pelanggan dan bakal disediakan sepenuhnya pada Oktober depan kepada semua pelanggan.
Dokumentasi baharu berkenaan tertakluk kepada rumah berharga RM500,000 dan ke bawah dan pelanggan boleh menyemak tawaran pembiayaan perumahan semua bank tempatan untuk membuat perbandingan di laman sesawang www.abm.org dan www.bnm.gov.my.
Nilai maksimum rumah berkenaan tidak termasuk pinjaman lain kos pengubahsuaian, jaminan (assurance), Gadai Janji Berkurangan Tempoh (MRTA) atau premium insurans lain.
Pengarah Eksekutif Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), Chuah Mei Lin berkata, berbanding sebelum ini, setiap bank mempunyai dokumentasi yang berbeza-beza dan penyampaian yang dibuat sukar difahami pelanggan.
"ABM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pasukan Petugas Khas Pemudah cara Perniagaan (Pemudah) telah melakukan tinjauan pada 2012 dan mendapati 80 peratus pelanggan membuat pembiayaan rumah RM500,000 dan ke bawah.
"Oleh itu, untuk permulaan kami menetapkan jumlah berkenaan dan merangka dokumentasi yang lebih mudah dengan menonjolkan persoalan asas iaitu kadar faedah, kadar pinjaman asasnya (BLR), ansuran dan beberapa maklumat penting lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan kepada media berkenaan dokumentasi baharu berkenaan anjuran ABM, di sini hari ini.
Ditanya adakah penyelarasan ini akan dikembangkan kepada pembiayaan lain, beliau berkata, buat masa ini tiada perancangan untuk hal berkenaan.
Katanya, penyelarasan ini perlu dinilai terlebih dahulu dan perlu mematuhi Akta Persaingan.
"Kami perlu menilai maklum balas daripada pengenalan dokumentasi baharu ini sepanjang 2012 untuk mengetahui kesannya," jelasnya.
Mei Lin berkata, tempoh masa yang diambil untuk proses pembiayaan rumah ketika secara purata adalah 55 hari bekerja dan diharapkan dengan dokumentasi baharu ini akan memendekkan tempoh berkenaan.