KUALA LUMPUR 21 Jan. - Projek hartanah kediaman bertanah di Malaysia
akan terus mencatatkan prestasi baik tahun ini kerana permintaan masih
'panas', kata HwangDBS Vickers Research Sdn. Bhd.
Ini susulan kehadiran lebih 600 orang yang menghadiri fasa tiga
undian Lakeside Residence Glomac Bhd. pada Jumaat lepas, lebih berganda
daripada yang dicatatkan dalam pelancaran fasa dua pada September.
Minat memberangsangkan yang ditunjukkan itu adalah hasil daripada
lokasi strategik, peningkatan permintaan bagi pembangunan kediaman
berpagar dan berkawal dengan kemudahan serta harga menarik, kata
HwangDBS dalam satu nota penyelidikan.
"Kehadiran yang ramai itu merupakan bukti permintaan kukuh terhadap
hartanah kediaman bertanah, meskipun harga yang meningkat sejak dua
hingga tiga tahun lepas dan berian pinjaman yang lebih ketat.
"Harga dijangka meningkat, walaupun lebih sederhana, disokong
peningkatan kos tanah dan pembinaan serta bekalan baharu yang semakin
berkurangan," kata firma penyelidikan itu.
HwangDBS menyatakan pemaju dengan pendedahan besar kepada hartanah
kediaman bertanah, perumahan besar-besaran (kurang daripada 500,000) dan
lokasi utama dijangka mencatatkan prestasi baik.
Ia berkata antara syarikat yang bakal mendapat faedah besar
daripadanya ialah Glomac, Hua Yang Bhd., MKH Bhd., Mah Sing Group Bhd.,
IJM Land Bhd. dan SP Setia Bhd. - BERNAMA