Thursday, January 3, 2013

Peniaga yakin pasaran domestik


EKONOMI domestik negara dijangka terus rancak di samping pemulihan ekonomi dunia. - GAMBAR HIASAN 
KUALA LUMPUR 2 Jan. - Pemilik-pemilik perniagaan tempatan melahirkan keyakinan terhadap kerancakan ekonomi negara tahun depan, sekali gus berupaya mencatatkan pendapatan dengan lebih baik, berbanding 2012.
Pengurus Bersekutu SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani berkata, berdasarkan kajian Laporan Perniagaan Antarabangsa Perniagaan Grant Thornton (IBR), 52 peratus peniaga tempatan menjangkakan pendapatan mereka tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Katanya lagi, 42 peratus peniaga melihat potensi masing-masing untuk meningkatkan pelaburan dari segi pembinaan kilang dan mesin, manakala 35 peratus berpendapat mereka akan mencatatkan keuntungan yang baik tahun ini.
"Peniaga di negara-negara jiran melihat ekonomi masing-masing mampu berkembang dengan baik seperti Filipina dengan 72 peratus, Singapura (26 peratus), Thailand (19 peratus), manakala hanya Vietnam merosot dengan keyakinan negatif 10 peratus," katanya.
Katanya dalam satu kenyataan itu, bagaimanapun, peniaga-peniaga dari seluruh dunia masih ragu-ragu terhadap pemulihan ekonomi global tahun ini, khususnya dengan ekonomi Amerika Syarikat yang masih terumbang-ambing.
Keadaan itu bagaimanapun, mampu diseimbangkan dengan pertumbuhan yang baik di beberapa benua ekonomi seperti Amerika Latin dan Asia Pasifik.
Sementara itu, KPMG mengunjurkan tahun 2013 bakal menyaksikan ekonomi global berkembang menerusi pelaksanaan pelan pemulihan terhadap pertumbuhan perlahan yang dialami sejak beberapa tahun lalu.
Firma itu turut meramalkan gelombang serta dasar fiskal proaktif ditambah dengan dasar kewangan berhemat akan terus diguna pakai pada tahun ini.
"Pilihan raya umum yang dijangka berlangsung pada penggal pertama 2013 turut mendorong kerajaan untuk terus memperhebatkan pelan tahun ini yang telah pun menerima sokongan majoriti masyarakat negara ini," katanya.
Menurut KPMG, antara yang menjadi fokus tahun ini adalah kebajikan sosial dan industri berkaitan perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan, pencegahan jenayah, menangani rasuah dan tenaga manusia.
Katanya, usaha berterusan terhadap keutamaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat menerusi penyediaan peluang pekerjaan akan dikekalkan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130103/ek_01/Peniaga-yakin-pasaran-domestik#ixzz2HL3uDpO3
© Utusan Melayu (M) Bhd