Saturday, January 5, 2013

Had pendapatan Skim Rumah Pertama dinaikkan


Seorang pelawat melihat rumah contoh ketika melawat pameran hartanah di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Berkuatkuasa 1 Januari 2013, had pendapatan bagi memohon pinjaman perumahan di bawah Skim Rumah Pertamaku (SRP) telah dinaikkan bagi membolehkan lebih ramai pembeli melakukan pinjaman bagi memiliki rumah.
Cagamas SRP Bhd. dalam kenyataannya berkata, pada pembentangan Bajet 2013 lalu, kerajaan mengumumkan bahawa had pendapatan pemohon individu bagi skim itu akan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan tahun ini.
Sementara had pendapatan peminjam bersama pula dinaikkan sehingga RM10,000 sebulan dengan syarat salah seorang peminjam tidak boleh berpendapatan lebih RM5,000 sebulan.
Tambahan daripada itu, keperluan untuk menyertakan penyata bank bagi tempoh tiga bulan dan tempoh bekerja minimum selama enam bulan turut dihapuskan.
SRP juga membolehkan pembeli rumah mendapatkan pinjaman 100 peratus daripada bank-bank terlibat tanpa perlu membayar wang pendahuluan 10 peratus.
Cagamas SRP akan bertindak selaku penjamin untuk 10 peratus nilai awal pinjaman di bawah skim tersebut.
Maklumat lanjut mengenai pinjaman boleh diperoleh di bank-bank terbabit atau layari laman web www.srp.com.my.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130104/ko_04/Had-pendapatan-Skim-Rumah-Pertama-dinaikkan#ixzz2HL5k5fda
© Utusan Melayu (M) Bhd